Bagaimanapun, terdapat segelintir masyarakat seolah-olah tidak peka terhadap penguatkuasaan akta itu malah tanpa segan silu masih merokok di kawasan awam meskipun papan tanda "Dilarang Merokok" sudah dipamerkan.
Tinjauan Bernama di beberapa premis perniagaan khususnya restoran di Bandar Baru Salak Tinggi dan Kota Warisan di Sepang, Selangor mendapati, mereka yang "keras kepala" itu kebanyakan adalah pelanggan yang merokok menggunakan rokok elektronik atau vape.
Seorang pelanggan Nordila Yasir, 40, menyifatkan langkah yang dilaksanakan kerajaan itu tepat dan mampu mengekang budaya merokok di tempat awam khususnya di restoran yang menjadi tumpuan pelanggan berkeluarga.
Situasi sama ketika tinjauan di kedai makan di sekitar Meru Raya, Taman Canning dan Jalan Lim Bo Seng di Perak apabila masih terdapat individu yang merokok di meja makan seolah-olah mengabaikan penguatkuasaan akta berkenaan.
Pekerja kedai makan Sahul Hamid, 45, berkata, pemilik kedai sentiasa mengingatkan pelanggan untuk mematuhi larangan merokok dengan melekatkan papan tanda di premis mereka, namun, ia seolah-olah hanya menjadi perhiasan dinding kerana ada segelintir yang tidak patuh.
"Sudah menjadi tabiat mereka selepas makan akan menghisap rokok, ada juga pelanggan yang patuh dengan keluar dari premis tetapi ada juga yang beri alasan bahawa penguatkuasaan sekarang tidak ketat seperti dahulu," katanya.
Penghantar makanan p-hailing di Kota Kinabalu, Sabah Muhd Fuzi Abdullah, 29, berkata, kebanyakan perokok kini sudah tidak merokok atau menghisap vape di tempat awam meskipun masih ada segelintir yang melakukannya terutama pada waktu malam atau ketika premis lengang.
"Saya cadangkan agar anggota penguat kuasa datang waktu malam kerana sebelah siang ada banyak orang atau keluarga di restoran jadi mereka tidak merokok atau hisap vape tetapi sebaliknya bila waktu malam mereka jumpa untuk 'kupi-kupi' (minum kopi) sama kawan di kedai mamak," katanya.
Sehubungan itu, rata-rata masyarakat berharap usaha pendidikan dan kesedaran berkaitan Akta 852 diperluaskan selain pemantauan berterusan bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan akta tersebut.
Bagi usahawan produk herba di Kuantan, Pahang Rosamsidah Mohd Fadzir, 46, pelaksanaan akta yang sekian lama menjadi penantian terutamanya dalam kalangan ibu bapa perlu diperhebatkan dengan lebih meluas lagi pendedahannya dan ini boleh dilakukan oleh pemimpin komuniti atau kawasan.
"Ini langkah penting dalam melindungi kesihatan anak-anak kita. Sebagai ibu kepada empat orang anak, memang saya bimbang dengan penjualan vape secara bebas dan boleh didapati di merata tempat tanpa ada larangan siapa yang membelinya," katanya.
Isma Ismail, 42, dari Taman Mergong, Alor Setar di Kedah pula berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang menghisap rokok dan rokok elektronik di kedai makan, premis perniagaan, pusat beli-belah serta premis kerajaan.
"Tindakan yang dibuat sebelum ini tidak seberapa sebab itu mereka (perokok) tidak takut untuk menghisap rokok di kawasan berkenaan," katanya.
Pekerja kedai vape di Sungai Dua, Pulau Pinang Hafiz Ahmad, 40, berkata, susulan penguatkuasaan akta itu bermula hari ini pihaknya telah mengambil inisiatif mengeluarkan semua bentuk paparan produk di hadapan kedai termasuk gegantung sebagai pematuhan kepada segala garis panduan ditetapkan.
"Apa yang dilakukan kerajaan ini memang bagus terutama membabitkan sekatan kepada remaja bawah umur tetapi bagi pihak pengusaha pula kita harap dapat diberikan masa untuk kita ikut segala garis panduan baharu yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin ketika dihubungi Bernama berkata, buat masa ini pihaknya memberikan taklimat kepada agensi selain pendidikan kepada orang ramai.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum melaksanakan sebarang operasi dan berharap orang ramai termasuk peniaga mendapat penjelasan yang tepat mengenai akta tersebut.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong pula berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan operasi serta langkah penguatkuasaan yang lain.
Bagaimanapun, beliau berkata, operasi rutin penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan, restoran dan tempat awam masih berjalan seperti biasa. - BERNAMA