TEHRAN: Iran telah berjaya menghantar satelit penyelidikan ke orbit dengan roket yang dibina oleh Pengawal Revolusi Paramilitari pada Sabtu.

Agensi Berita IRNA, yang dikendalikan kerajaan melaporkan, satelit Chamran-1 mempunyai berat 60 kilogram dan berjaya mencapai orbit 550 kilometer di angkasa lepas.

Pihaknya berkata, menguji perkakasan dan perisian angkasa adalah misi utama satelit itu.

Menurut IRNA, stesen darat turut menerima isyarat daripada satelit.

Roket pembawa satelit QAEM-100, menggunakan bahan api pepejal, direka dan dibuat oleh bahagian aeroangkasa pengawal.

Iran berkata, ia mempunyai 13 lagi pelancaran satelit berturut-turut.

Walaupun Iran sudah lama merancang untuk menghantar satelit ke orbit, ini adalah pelancaran pertama di bawah Presiden Masoud Pezezhkian, selepas pendahulunya, Ebrahim Raisi meninggal dunia dalam nahas helikopter, Mei lalu.

Januari lalu, Iran berkata, pihaknya berjaya melancarkan tiga satelit ke angkasa lepas dengan roket.

Program itu dilihat oleh barat sebagai sebahagian daripada penambahbaikan peluru berpandu balistik Tehran.

Pelancaran itu juga dilakukan ketika ketegangan yang memuncak mencengkam Asia Barat yang lebih luas berhubung perang berterusan Israel terhadap Hamas di Semenanjung Gaza, mencetuskan kebimbangan konflik serantau.

Amerika Syarikat sebelum ini berkata, pelancaran satelit Iran menentang resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menyeru Teheran untuk tidak melakukan sebarang aktiviti yang melibatkan peluru berpandu balistik yang mampu menghantar senjata nuklear.

Sekatan PBB berkaitan Program Peluru Berpandu Balistik Iran tamat pada Oktober lalu.