Dalam kenyataan yang dikongsi bersama Bernama, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Nasar menekankan keadaan teruk di Gaza dengan sekatan lebih 15 bulan telah menyebabkan penduduknya dalam penderitaan yang tidak dapat dibayangkan.
Musim sejuk telah menambah penderitaan mereka dengan keadaan beku, khemah roboh dan banjir yang meragut nyawa kanak-kanak, termasuk yang meninggal dunia dalam pelukan ibu mereka.
"Keadaan ini adalah bukti kepada sikap tidak peduli pembuat keputusan global dan kekurangan keinginan yang ikhlas mereka untuk menamatkan serangan ini," menurut Al-Azhar. Institusi itu berkata pembunuhan rakyat Palestin yang tidak bersalah nampaknya tidak lagi menimbulkan kemarahan, seolah-olah nyawa mereka dikecualikan daripada deklarasi hak asasi manusia dan perlindungan antarabangsa.
Al-Azhar turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketidakpekaan yang semakin meningkat terhadap tragedi yang sedang berlaku.
Institusi itu turut kesal bagaimana berita mengenai kekejaman hanya mendapat perhatian sementara sebelum dilupakan, membolehkan pelaku pembersihan etnik dan genosid bertindak tanpa dikenakan hukuman.
Sementara itu, Al-Azhar turut mengkritik ketiadaan perhatian antarabangsa, politik, Arab, dan media yang signifikan terhadap kekejaman di Gaza, yang disifatkan sebagai kegagalan kemanusiaan.
"Krisis ini telah mendedahkan kejayaan entiti Zionis dan penyokongnya dalam menormalkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita di Gaza, menggambarkan jenayah kejam ini sebagai peristiwa biasa," katanya.
Al-Azhar secara tegas menyeru masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan mekanisme penghantaran bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan kepada penduduk Gaza.
Ia menekankan keperluan untuk menyelamatkan penduduk Gaza daripada malapetaka kemanusiaan tanpa mengira sesiapa pun - warga emas, kanak-kanak, atau wanita - akibat serangan kejam yang tidak berlandaskan agama, moral atau kemanusiaan.
-- BERNAMA