Muizzu tiba di New Delhi pada Ahad untuk lawatan negara selama lima hari.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas perbincangan antara Modi dan Muizzu menyenaraikan pelbagai aktiviti dalam sektor seperti pendidikan, pembangunan kemahiran, penguatkuasaan undang-undang dan penjagaan kesihatan yang akan dijalankan oleh Maldives dengan penglibatan India, bersama peningkatan hubungan perdagangan dan pertahanan.
"Para pemimpin mengakui bahawa ini adalah masa yang tepat untuk kedua-dua pihak merangka rangka kerja baharu bagi kerjasama dengan tujuan mengubah hubungan dua hala secara menyeluruh kepada Perkongsian Keselamatan Ekonomi dan Maritim Komprehensif, yang berpusatkan rakyat, berorientasikan masa depan dan akan menjadi sauh kestabilan di rantau Lautan Hindi," menurut kenyataan itu.
Mereka bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas dua hala (FTA) yang memberi tumpuan kepada barangan dan perkhidmatan, serta memutuskan untuk "mengoperasikan" penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan bagi mengurangkan pergantungan pada mata wang asing.
"Kami berharap untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan bebas dengan India, yang akan membolehkan kami memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi antara kedua-dua negara dan meningkatkan pelaburan India dalam sektor pelancongan dan pembangunan kami," kata Muizzu dalam ucapannya.
Kedua-dua negara menandatangani perjanjian pertukaran mata wang bernilai AS$400 juta dan 30 bilion rupee (kira-kira AS$357 juta).
Muizzu berterima kasih kepada India kerana melanjutkan tempoh bil perbendaharaan (T-bills) yang dilanggan oleh State Bank of India bernilai AS$100 juta pada Mei dan September selama setahun lagi.
Satu memorandum persefahaman akan "membolehkan kerjasama institusi" antara parlimen India dan Maldives.
Untuk meningkatkan hubungan ketenteraan, India akan membantu Maldives dengan "platform dan aset pertahanan" untuk Angkatan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF), serta sistem radar dan peralatan lain untuk keselamatan maritim.
Bangunan Kementerian Pertahanan Maldives yang baharu di Male, dibina dengan bantuan India, akan dirasmikan tidak lama lagi.
Muizzu, yang dipilih sebagai presiden tahun lepas melalui kempen "India Out", dilabel sebagai "pro-China" oleh media Barat dan India.
Hubungan dengan India menjadi tegang apabila Maldives mendesak penarikan balik anggota tentera India yang mengendalikan tiga pesawat di negara kepulauan itu.
Jumlah pelancong India yang melawat Maldives menurun dengan ketara tahun ini, manakala ketibaan dari China mengatasi negara lain.
Berbeza dengan dasar "India first" kerajaan sebelumnya, Maldives di bawah Muizzu telah berusaha untuk mempelbagaikan hubungan luar negaranya.
Lawatan Muizzu ke India bertujuan mengukuhkan hubungan dengan negara jiran itu selepas fasa awal yang sukar.
Sempena ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik rasmi kedua-dua negara tahun depan, Muizzu menjemput Modi untuk melakukan lawatan negara ke Maldives.
-- BERNAMA