RAMALLAH: Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) menyeru agar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan disalurkan ke utara Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).


Ringkasan AI
  • ICRC menyeru agar bantuan kemanusiaan, termasuk bekalan perubatan, disalurkan ke utara Semenanjung Gaza untuk membantu hospital-hospital yang bergelut memenuhi keperluan yang semakin meningkat.
  • Lebih 400,000 orang masih terperangkap di utara Gaza untuk hari ke-10 ketika tentera Israel meneruskan pencerobohan darat ke atas kem Jabalia dan Beit Lahia.
  • ICRC menekankan keperluan untuk melindungi orang awam yang tidak dapat melarikan diri, termasuk mereka yang sakit atau kurang upaya, dan menegaskan hak mereka untuk pulang ke rumah dengan selamat.


ICRC dalam kenyataan media pada Selasa memaklumkan hospital-hospital yang sudah menanggung beban berat kini bergelut untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat, sambil menekankan keperluan untuk menghormati dan melindungi kemudahan perubatan.

Lebih 400,000 orang masih terperangkap di utara Gaza untuk hari ke-10 ketika tentera pendudukan Israel meneruskan pencerobohan darat ke atas kem Jabalia dan Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza.

ICRC menekankan keperluan untuk menyediakan perlindungan kepada orang awam berikutan arahan pemindahan di utara Gaza.

"Ramai yang tidak boleh melarikan diri, sebahagian daripada mereka sakit atau kurang upaya, tetapi mereka ini tetap dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan, dan semua langkah perlu diambil untuk memastikan mereka tidak dicederakan," kata ICRC.

Jawatankuasa itu menegaskan bahawa hak setiap orang yang kehilangan tempat tinggal untuk pulang ke rumah mereka dengan selamat adalah hak yang dijamin.

-- BERNAMA