KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Hezbollah, Naim Qassem pada Isnin berkata pihaknya akan secepat mungkin memilih pengganti kepada setiausaha agungnya yang terbunuh, Sayyed Hassan Nasrallah dan meneruskan perjuangan mereka menentang Israel.

Qassem berkata demikian dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen tempatan, penampilan pertama seorang pegawai Hezbollah sejak Nasrallah terbunuh pada Jumaat dalam serangan udara Israel di Lubnan.

Pada masa sama, Qassem berkata, Hezbollah telah meneruskan serangan roket sejauh 150 kilometer ke dalam wilayah Israel dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan serangan darat dari Israel.

Ujarnya, beliau menjanjikan kemenangan walaupun mengakui bahawa pertempuran itu mungkin akan mengambil masa yang panjang.

Pada masa sama, beliau juga menyalahkan Amerika Syarikat (AS) kerana memberi sokongan tanpa batas kepada Israel.

Kumpulan Hezbollah Lubnan mengesahkan pada Sabtu bahawa pemimpinnya terbunuh, melalui pengumuman yang disiarkan di televisyen.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata kejadian itu berlaku susulan pertempuran dengan Israel dalam usaha kumpulan tersebut menyokong Gaza dan Palestin.