SEPERTI rata-rata kaum wanita yang lain, Kathera yang berusia 33 tahun juga pernah mendambakan sebuah kehidupan yang normal – berkerjaya dan berdikari.
Setelah puas bergulit dengah kesukaran dan kesulitan, senjata dirinya yang paling ampuh iaitu tidak pernah kenal putus asa akhirnya menghadirkan sebuah kegembiraan buatnya.
Cita-citanya untuk berkhidmat kepada negara iaitu sebagai pegawai polis wanita di wilayah Ghazni, Afghanistan, akhirnya diperoleh Kathera.
Namun, kegembiraan itu hanya sekelip mata, apabila jiwa besarnya untuk berbakti kepada masyarakat diragut oleh insiden yang kejam.
Atau lebih tepat insiden yang amat kejam itu telah membinasakan masa depan yang sudah lama diatur Kathera.
“Perkara terakhir yang saya nampak ialah tiga orang lelaki di atas sebuah motosikal menyerang saya apabila saya meninggalkan tempat kerja di stesen polis.
“Mereka menembak dan menusuk mata saya dengan pisau. Apabila saya bangun di (katil) hospital, dunia saya menjadi gelap,” Kathera mengimbau permulaan kekejaman terhadap dirinya.
Hanya kerana impikan sebuah kerjaya, ibu kepada lima cahaya mata itu kini hilang penglihatannya.
“Saya bertanya kepada doktor, mengapa saya tidak boleh melihat apa-apa? Mereka memberitahu saya bahawa mata saya masih dibalut kerana luka. Namun, pada ketika itu, saya lebih tahu,” luah Kathera menyambung perbualan.
Kata Kathera, dia hanya sempat menikmati kehidupan sebagai seorang pegawai polis di bahagian jenayah untuk beberapa bulan sahaja, sebelum penglihatannya itu ‘dirampas’.
“Saya berharap dapat berkhidmat sebagai pegawai polis untuk sekurang-kurangnya setahun. Sekiranya ia benar-benar berlaku pada saya selepas itu, Ia akan menjadi kurang menyakitkan.
“Ia berlaku dengan terlalu pantas… saya hanya dapat bekerja dan menunaikan impian saya selama tiga bulan sahaja,” ujarnya kepada Reuters.
Kathera dan pihak berkuasan tempatan tegas mendakwa, serangan ke atasnya itu dilakukan oleh militan Taliban.
Bagaimanapun, puak Taliban menafikan ada kaitan dengan kekejaman itu, sebaliknya, mendakwa, serangan ke atas wanita itu beritik tolak pada rasa tidak senang ayah Kathera dengan kerjaya yang disandang anaknya itu.
Ayah Kathera didakwa menentang keras keputusan anaknya menyertai pasukan beruniform dan perkara itu diakui sendiri olehnya.
“Berkali-kali ketika saya ke tempat kerja, saya melihat ayah mengikuti saya. Dia mula mengubungi Taliban di kawasan berdekatan dan meminta mereka menghalang saya daripada bekerja,” dedah Kathera.
Katanya, ayahnya juga ada memberikan salinan kad pengenalannya kepada militan Taliban sebagai bukti bahawa dia bekerja dengan pihak polis.
Kathera masih ingat pada hari kejadian serangan dia menerima panggilan daripada bapanya sepanjang masa hanya semata-mata mahu mengetahui lokasi keberadaannya.
Ini memberi petunjuk kepada polis Ghazni yang percaya serangan itu dilakukan militan Taliban dan ayah mangsa pula dalam masa telah ditahan untuk siasatan.
Sementara itu, jurucakap Taliban mengakui menyedari berkenaan kes itu, namun sekeras-kerasnya menafikan penglibaran mereka dan berpendapat, tragedi kekejaman itu ada kaitan dengan masalah peribadi keluarga itu.
Berdasarkan kes kekejaman ke atas Kathera itu, realitinya, wanita berkerjaya masih diancam bahaya di Afghanistan kerana menjadi antara sasaran serangan militan Taliban yang kononnya bertindak mengikut landasan Islam.