Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) mengeluarkan amaran tahap 'waspada' (berjaga-jaga) selepas gunung berapi Anak Krakatau terus menerus mengeluarkan abu lahar serta batu cair yang panas.

Amaran tersebut dikeluarkan Ketua Pusat Data dan Informasi BNPB, Sutopo Purwo selepas kapal tentera Republik Indonesia yang terletak di Teluk Cirebon merakamkan situasi terkini gunung berapi Anak Krakatau pada petang Rabu.

“Keadaan gunung berapi Anak Krakatau yang dirakamkan dari kapal tentera Republik Indonesia (KRI) Teluk Cirebon 543 pada 26 Disember 2018, 4.33 petang (waktu Indonesia Barat).

“Letusan masih berlaku. Letusan gunung berapi Anak Krakatau jenis strombolian telah mengeluarkan abu lahar dan batu cair panas secara berterusan. Status waspada (aras 2),” memetik kenyataan tersebut.


Sementara itu, menerusi status berasingan di Twitter, beliau berkata bantuan berterusan akan diberi kepada mangsa tsunami di Mukim Pandeglang, Sumatera Timur.

"BNPB telah mengerahkan tiga helikopter untuk menyalurkan bantuan. Tujuh buah desa di Kecamatan Sumur sudah memperolehi bantuan dan bantuan akan terus disalurkan," katanya.

Pada Sabtu lalu, tsunami melanda pantai barat wilayah Banten, di Selat Sunda sekitar jam 9.27 malam (waktu tempatan) dipercayai akibat aktiviti Anak Krakatau.

Ia dipercayai berlaku akibat gelongsoran bawah tanah susulan letusan di Gunung Anak Krakatau sehingga ini mengorbankan lebih 400 nyawa.