KUALA LUMPUR: Pilihan raya presiden dijadualkan berlangsung di Georgia di tengah-tengah protes berterusan pembangkang terhadap parti pemerintah Georgian Dream, sementara Presiden Salome Zourabichvili yang akan tamat tempoh perkhidmatannya enggan mengosongkan jawatan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pilihan raya kali ini merupakan yang pertama di Georgia menyaksikan presiden akan dipilih melalui 300 ahli Badan Perwakilan Pemilih atau Electoral College dan bukannya melalui undian langsung, susulan pindaan perlembagaan pada 2017.

Memandangkan pembangkang memboikot pilihan raya tersebut, bekas pemain bola sepak Mikheil Kavelashvili yang dicalonkan oleh parti pemerintah Georgian Dream menjadi satu-satunya calon yang didaftarkan untuk bertanding.

Zourabichvili, yang tempoh perkhidmatannya berakhir pada 16 Disember, enggan meninggalkan jawatannya sambil menuduh parti pemerintah campur tangan dalam pilihan raya parlimen. Beliau turut menggesa protes jalanan yang dijangka bertambah sengit apabila ahli Badan Perwakilan Pemilih berkumpul di bangunan parlimen untuk membuang undi.

-- BERNAMA