"Sejam yang lalu, ia masih dalam perbincangan. Saya optimis. Namun, ia masih jauh untuk diselesaikan.
"Hanya tinggal beberapa isu sahaja lagi. Saya rasa kita ada peluang," kata Biden kepada pemberita apabila ditanya mengenai rundingan tersebut.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken, akan ke Tel Aviv pada Sabtu bagi meneruskan usaha untuk mencapai perjanjian gencatan senjata termasuk pertukaran tawanan, menurut laporan itu.
Lawatan itu dilakukan selepas Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar mengumumkan pada Jumaat bahawa mereka telah mengemukakan kepada Israel dan Hamas apa yang disebut sebagai "cadangan untuk merapatkan jurang" yang masih ada bagi membolehkan pelaksanaan perjanjian dengan segera.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AS, Mesir dan Qatar, mereka menggambarkan perbincangan yang berlangsung selama dua hari di ibu negara Qatar, Doha, sebagai serius dan konstruktif serta diadakan dalam suasana yang positif.
Para pengantara tidak memberikan butiran terperinci mengenai cadangan baharu itu tetapi menyatakan ia selaras dengan prinsip yang digariskan oleh Presiden Biden pada 31 Mei 2024 dan Resolusi Majlis Keselamatan No. 2735.
Resolusi Majlis Keselamatan 2735 menyambut baik cadangan yang dikemukakan oleh Biden.
Kenyataan itu juga menyebut bahawa pegawai kanan dari ketiga-tiga negara akan bertemu semula di Kaherah sebelum akhir minggu depan dengan tujuan untuk memuktamadkan perjanjian di bawah syarat yang telah dikemukakan hari ini.
Rundingan itu melibatkan Pengarah CIA, William Burns, Perdana Menteri Qatar, Mohammed Abdulrahman Al Thani, Ketua Perisikan Mesir, Abbas Kamel, dan Pengarah Mossad Israel, David Barnea.
Menurut Anadolu, Hamas enggan menyertai perbincangan terbaharu itu, dengan menuntut Tel Aviv mematuhi perjanjian yang dibuat pada Julai berdasarkan cadangan yang disokong oleh Biden dua bulan lalu, menurut laporan media.
Sebahagian besar wilayah itu musnah sepenuhnya akibat serangan bom Israel yang berterusan.
-- BERNAMA