GAZA CITY: Kumpulan penentang Palestin, Hamas pada Ahad menggesa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan mesyuarat tergempar mengenai genosid yang berlanjutan di Semenanjung Gaza.


Ringkasan AI
  • Hamas menggesa Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan mesyuarat tergempar mengenai genosid yang berlanjutan di Semenanjung Gaza.
  • Mereka menekankan keperluan untuk membuat keputusan yang berkesan bagi menghentikan serangan dan genosid terhadap rakyat di Semenanjung Gaza serta memutuskan sebarang hubungan politik, perdagangan atau menormalisasikan hubungan dengan Zionis.
  • Hamas menggesa pelaksanaan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak bersama Arab dan Islam yang berlangsung di Riyadh pada 11 Nov tahun lalu. Keputusan tersebut melibatkan penghapusan sekatan dan penghantaran pelbagai barangan termasuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Semenanjung Gaza.


Hamas menekankan keperluan untuk membuat keputusan yang berkesan bagi menghentikan serangan dan genosid terhadap rakyat di Semenanjung Gaza serta memutuskan sebarang hubungan politik, perdagangan atau menormalisasikan hubungan dengan Zionis, lapor Agensi Anadolu.

Kumpulan itu turut menggesa pelaksanaan keputusan yang dibuat pada sidang kemuncak bersama Arab dan Islam yang berlangsung di Riyadh pada 11 Nov tahun lalu bagi menghapuskan sekatan dan menghantar pelbagai barangan termasuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Semenanjung Gaza.

Di samping itu, Hamas menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mengadakan sesi tergempar dan membuat keputusan yang mewajibkan penjajah (Israel) menghentikan pencerobohan dan genosid serta menghentikan pelanggaran undang-undang dan perjanjian.

Israel menerima kecaman antarabangsa selepas mengabaikan resolusi UNSC yang menuntut gencatan senjata segera, di tengah-tengah serangan kejam yang berterusan di Gaza sejak 7 Okt 2023.

Serangan Israel setakat ini mengorbankan hampir 39,800 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak serta mencederakan lebih 92,000 yang lain, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA