Abdelatty berkata dalam sidang media di Beirut selepas mesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Lubnan, Abdullah Bou Habib, bahawa Mesir akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengelakkan situasi di rantau ini daripada meletus, lapor Agensi Anadolu.
"Rundingan masih berjalan, kami terus mengemukakan idea untuk mencapai gencatan senjata di Gaza, kami sedang berusaha dengan serius bersama Qatar dan Amerika Syarikat untuk merapatkan jurang (antara pihak berperang Hamas dan Israel)," katanya.
Perbincangan gencatan senjata di Doha berakhir dengan pembentangan "cadangan yang merapatkan jurang" antara pihak bertelagah, selaras dengan prinsip yang dinyatakan oleh Presiden AS Joe Biden pada 31 Mei.
Biden berkata pada Mei bahawa Israel mengemukakan pelan tiga fasa yang akan mengakhiri permusuhan di Gaza dan memastikan pembebasan tawanan. Pelan itu merangkumi gencatan senjata, pertukaran tawanan dan pembinaan semula Gaza.
Selama beberapa bulan, AS, Qatar dan Mesir berusaha untuk mencapai persetujuan antara Israel dan Hamas bagi memastikan pertukaran tawanan dan gencatan senjata, serta membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki Gaza.
Namun, usaha pengantaraan terhenti akibat keengganan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memenuhi tuntutan Hamas bagi menghentikan perang.
Serangan Israel sejak 7 Oktober meragut lebih daripada 40,000 nyawa dan lebih 92,000 orang cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
-- BERNAMA