Anwar undang bekas Mufti Mesir, teruskan kesinambungan pengajian turath Islami
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang tokoh ulama yang juga bekas Mufti Mesir Syeikh Prof Ali Jum'ah ke Malaysia.
Bernama
Tue Nov 12 2024
Anwar bertemu Ali yang juga Ketua Lajnah Agama dan Wakaf di Parlimen Mesir, sejurus tiba dari Riyadh, Arab Saudi. - Gambar/ PMO
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang tokoh ulama yang juga bekas Mufti Mesir Syeikh Prof Ali Jum'ah ke Malaysia, bagi meneruskan kesinambungan pengajaran turath Islami yang sedang giat digerakkan oleh kerajaan.
Beliau berkata undangan itu juga seiring dengan penganjuran Majlis Sama' Hadis Shahih Bukhari yang kini sedang berlangsung di Putrajaya.
Perkara itu disuarakan Anwar melalui pertemuannya dengan Ali yang juga Ketua Lajnah Agama dan Wakaf di Parlimen Mesir, sejurus tiba dari Riyadh, Arab Saudi.
"Maudu' perbincangan berkisar ikhtiar kerajaan MADANI untuk terus meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam yang syumul melalui pengajian tradisi turath, dan penterjemahan karya-karya ilmiah di khalayak masyarakat," kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar tiba di Riyadh, semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab-Islam.
Kehadiran Perdana Menteri ke sidang kemuncak itu adalah untuk menyuarakan pandangan dan membawa mandat rakyat Malaysia mengenai kekejaman berterusan serta isu kemanusiaan yang berpunca daripada tindakan rejim Zionis Israel di Palestin dan Lubnan.
Anwar kembali ke Kaherah untuk meneruskan lawatan rasmi empat harinya ke Mesir, yang bermula Sabtu lepas.