Ringkasan AI
- Malaysia, Thailand, dan Brunei sepakat isu Myanmar perlu diselesaikan segera, berdasarkan Konsensus Lima Perkara ASEAN.
- Brunei menyokong usaha Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dalam mencari penyelesaian kekal terhadap krisis di Myanmar.
- Ketiga-tiga negara bersetuju memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelancongan, pertahanan, dan keselamatan makanan.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri berkata situasi di Myanmar menjadi antara isu yang berbangkit dalam kedua-dua mesyuarat bilateral melibatkan Malaysia hari ini.
“Kedua-dua Menteri (Luar Malaysia dan Thailand) bersetuju bahawa isu di Myanmar harus diselesaikan dengan segera, sambil menekankan kepentingan konsep Perpaduan ASEAN dan Pemusatan ASEAN,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Pekerma Jaya memberi komitmen bahawa negaranya memberi sokongan penuh kepada Malaysia untuk mencari penyelesaian kekal kepada isu tersebut selaku Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Mereka (Menteri Luar Malaysia dan Brunei Darussalam) mengulangi komitmen mereka kepada Konsensus Lima Perkara sebagai rangka kerja untuk menyelesaikan isu Myanmar,” ujarnya.
Konsensus Lima Perkara ASEAN merujuk kepada keputusan yang dicapai pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN pada 24 April 2021 di Jakarta, Indonesia.
Ia merupakan usaha ASEAN untuk menangani krisis di Myanmar, dengan menggariskan lima tunjang iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, ASEAN sebagai perantara dan lawatan wakil khas ASEAN ke negara itu.
Selain itu, ketiga-tiga negara turut bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor, khususnya perdagangan, pelancongan, pertahanan dan keselamatan makanan.
Ini termasuk komitmen untuk menarik lebih banyak pelaburan dari sektor swasta untuk memperkasakan pelancongan intra-ASEAN.
“(Malaysia dan Thailand) juga membincangkan keperluan untuk pelaksanaan inisiatif ketara bagi menjadikan ASEAN lebih bertumpu kepada hasil,” tambahnya.