Mesir menjadi tuan rumah rundingan antara kedua-dua kumpulan Palestin itu pada Sabtu untuk membincangkan pembentukan jawatankuasa bersama bagi mentadbir Gaza selepas konflik.
"Mesyuarat ini bertujuan untuk menyatukan visi mengenai pembinaan semula Gaza dan keadaan di wilayah itu selepas berakhirnya pencerobohan Israel," kata Taysir Nasrallah, ahli Majlis Revolusi Fatah, kepada Anadolu.
Beliau menyuarakan harapan bahawa "formula konsensus" akan diumumkan pada Ahad selepas perbincangan itu.
"Trend umum adalah untuk membina semula wilayah itu, menyediakan bantuan dan menguruskan wilayah dengan penyelarasan antara kedua-dua kumpulan, di bawah naungan Pihak Berkuasa Palestin," katanya.
Walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera, Israel terus melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lalu.
Lebih 43,300 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 102,100 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan Israel itu telah menyebabkan hampir keseluruhan penduduk wilayah itu terpaksa berpindah di tengah-tengah sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih, dan ubat-ubatan yang teruk.
Israel menghadapi kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa atas tindakannya di Gaza.
--BERNAMA-ANADOLU