KUCHING: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan menerima sebanyak 13,000 permohonan bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan di Sarawak.

Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata daripada jumlah itu, 5,700 permohonan telah dikeluarkan dan diberikan dokumen pengenalan diri, manakala bakinya masih dalam proses.

"Ada beberapa zon lagi kami (jawatankuasa khas) belum habis kumpulkan untuk melakukan proses kelulusan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Semalam dalam mesyuarat bersama Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pasukan khas ini setahun lagi iaitu hingga Julai 2025 di mana sepatutnya tempoh untuk pasukan khas ini mengumpulkan dokumen tamat pada Ogos ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan peringkat Sarawak bersama dengan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah di sini, hari ini.

Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan yang ditubuh antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak merangkumi Perkara 15(A), Perkara 15(2), Perkara 16, Perkara 19 dan Perkara 30 di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Saifuddin Nasution berkata antara perkara lain yang menjadi perhatian utama adalah kelulusan di bawah Seksyen 15A Perlembagaan Persekutuan bagi permohonan kategori anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak jagaan.

"Sebanyak 306 permohonan telah diteliti dan daripada jumlah itu, 225 permohonan telah diluluskan, manakala 81 permohonan disyorkan untuk ditolak. Setiap permohonan telah dinilai satu persatu untuk memastikan keputusan yang adil," katanya.

-- BERNAMA