Menurut bekas Perdana Menteri itu, naratif palsu AS yang mencadangkan gencatan senjata dilakukan di Palestin hanyalah sekadar sandiwara.
"AS tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk merealisasikan rancangan itu, sebaliknya AS terus menjual senjata kepada sekutunya, Israel.
"Kekayaan kamu (AS) adalah terhasil daripada pembunuhan dan pemusnahan penempatan rakyat," katanya dalam perkongsian di Facebooknya, di sini pada Jumaat.
Dr Mahathir memberitahu, AS tidak pernah menjadi sebuah negara yang hebat, tetapi hanya berselindung di sebalik laungan hak asasi manusia, keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Malah katanya, sejarah AS itu sendiri tertulis di sebalik penindasan dan genosid terhadap penduduk asli, Red Indian di negara itu.
"Justeru adalah sesuatu yang tidak mengejutkan AS menyokong pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas penduduk Palestin," ujarnya.
Tambah Dr Mahathir lagi, ketika Israel membunuh pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menuntut Iran supaya tidak melakukan serangan balas.
"Namun AS tidak pernah mendesak Israel untuk menghentikan genosid di Gaza," katanya.
Beliau turut menuduh AS sebagai punca berlakunya serangan dan pembunuhan di Gaza.
Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, slogan yang diuar-uarkan bekas Presiden AS, Donald Trump kononnya mahu menjadikan AS sebagai 'great again' dengan tidak mempedulikan nilai kemanusian di tanah Palestin tidak akan tercapai selama-lamanya.
'Go to hell – America the great hypocrite," katanya dalam perkongsian itu.