NEW DELHI: Gaza kini kehabisan kebanyakan ubat untuk menyelamatkan nyawa pesakit ketika Israel terus menyasarkan sektor perubatan Palestin sebagai sebahagian daripada perang genosid di wilayah yang diduduki.

Hospital-hospital di Gaza kini tanpa hampir 75 peratus daripada ubat untuk menyelamatkan nyawa dan kekurangan 83 peratus daripada keseluruhan bekalan perubatan mereka, menurut Kementerian Kesihatan di Semenanjung Gaza.

Pentadbiran pendudukan yang diketuai oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu telah melarang kemasukan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza sejak Oktober manakala tenteranya terus memusnahkan kawasan yang dikepung ini, dihuni lebih dua juta orang secara sistematik.

Angka kematian di Gaza telah melebihi 41,000 orang manakala hampir 100,000 rakyat Palestin cedera.

Lebih daripada 22,500 orang mengalami kecederaan yang mengubah hidup mereka, memerlukan perkhidmatan pemulihan untuk bertahun-tahun akan datang, lapor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Dengan sokongan dan bekalan senjata besar-besaran Amerika Syarikat, rejim Israel telah mengingkari seruan antarabangsa untuk menghentikan kekejaman serangan tenteraannya terhadap rakyat Palestin.

-- BERNAMA