Sekumpulan 20 wanita dari pelbagai kewarganegaraan melancarkan misi bagi mendesak pembebasan Semenanjung Gaza di Palestin dari cengkaman rejim Yahudi.

Menerusi projek Women’s Boat to Gaza (WBG), kumpulan itu memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada Rabu lalu.

“Kami merasakan menerusi tindakan sebegini yang dianjurkan oleh kaum wanita, dapat mengalih tumpuan dunia terhadap pentingnya perjuangan wanita Palestin dalam memperjuangkan pembebasan (Gaza),” kata penganjur WBG, Zohar Chamberlain.

Chamberlain, warga Israel yang menetap di Sepanyol memaklumkan kepada AFP, dia merasakan adalah menjadi tanggungjawab buatnya bagi menganjurkan projek itu bagi mengutuk sekatan yang dikenakan Yahudi ke atas bumi Palestin itu sejak 2006 lagi.

Semenanjung Gaza kini dikuasai pergerakan Hamas.

Israel sentiasa mendakwa sekatan itu perlu bagi mengelakkan senjata dibawa masuk dan jatuh ke tangan kumpulan Hamas.

Namun Bank Dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata tindakan itu turut menyebabkan eksport dari Gaza terhenti dan menyebabkan ekonomi wilayah itu terjejas.

Ia juga menyebabkan kehidupan lebih 1.9 juta rakyat Palestin terjejas.

Flotila WBG adalah sebahagian dari kumpulan Freedom Flotilla Coalition yang lebih besar, dengan misi yang sama untuk membantah sekatan Yahudi.

Sehingga kini beberapa cubaan untuk kumpulan itu melepasi sekatan menemui jalan buntu dengan beberapa anggotanya turut ditahan pihak Israel.

Dalam satu pelayaran yang sama pada tahun 2010 tentera Yahudi menembak mati 10 warga Turki selepas menyerbu kapal yang membawa aktivis menuju ke Gaza.