MANILA: Lebih 17,000 tentera Filipina dan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memulakan latihan ketenteraan bersama terbesar di Filipina meskipun menerima kritikan.

Latihan itu dipercayai hanya akan menyumbang kepada peningkatan ketegangan di rantau itu berbanding untuk tujuan keamanan dan kestabilan.

Menurut tentera Filipina, latihan tahunan 18 hari yang dikenali Balikatan itu melibatkan 5,400 tentera Filipina dan 12,200 taskar AS, sekali gus menjadikannya latihan terbesar yang mengabungkan tentera Filipina-AS.

Kira-kira 100 anggota angkatan tentera Australia turut menyertai latihan itu, manakala negara seperti Jepun dan Britain mengambil bahagian sebagai pemerhati.

Balikatan 2023 akan diadakan di beberapa kawasan termasuk pulau Luzon, wilayah Palawan, pulau Batanes dan wilayah Zambales dari 11 hingga 28 April, lapor Xinhua.

Latihan itu akan memberi tumpuan kepada keselamatan maritim, operasi amfibia, latihan tembakan langsung, pertahanan siber, memerangi keganasan, bantuan kemanusiaan dan persediaan bantuan bencana.

Filipina dan AS akan menggunakan sistem senjata kompleks termasuk bateri peluru berpandu Patriot dan Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS).

Beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk ahli Liga Pelajar Filipina, mengadakan "himpunan kilat" sekitar 5 pagi waktu tempatan pada Selasa, beberapa jam sebelum latihan itu bermula secara rasmi di Filipina.

Penunjuk perasaan menggesa kerajaan Filipina menamatkan perjanjian ketenteraan dengan AS.

Sambil membawa sepanduk dan kain rentang, penunjuk perasaan mengecam latihan itu sambil menggesa rakyat turut sama membantah.

Bantahan turut diadakan di pintu pagar kem tentera semasa upacara perasmian sedang dijalankan

Balikatan perkataan Tagalog yang membawa maksud "bahu-ke-bahu", merupakan latihan paling komprehensif.

Perjanjian Pasukan Pelawat (VFA) membenarkan tentera AS untuk berada di negara Asia Tenggara itu untuk menjalankan latihan ketenteraan dua hala dan mengawal tingkah laku anggota tentera AS.

-- BERNAMA