BRUSSELS: Kesatuan Eropah mengumumkan sumbangan EUR43 juta untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin membayar gaji dan pencen untuk pekerja dan pesaranya di Tebing Barat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Menurut EU bantuan kewangan itu bertujuan untuk membantu Pihak Berkuasa Palestin memenuhi sebahagian daripada kewajipannya kepada penjawat awamnya di tengah-tengah kesukaran kewangan yang teruk yang disebabkan oleh krisis ekonomi yang berpanjangan di wilayah Palestin yang diduduki.

Keadaan itu diburukkan lagi oleh pembayaran pelepasan cukai Palestin yang tidak teratur dan potongan berterusan oleh Israel.

Blok itu menegaskan bahawa EUR43 juta itu adalah sebahagian daripada pakej sokongan kewangan jangka pendek kecemasan yang bertujuan untuk menangani keperluan kewangan segera Pihak Berkuasa Palestin.

Sokongan itu menyasarkan pekerja perkhidmatan awam, terutamanya dalam sektor kesihatan dan pendidikan di Tebing Barat serta pesara.

Timbalan Perwakilan EU Maria Velasco menekankan komitmen berterusan Kesatuan untuk memberikan sumbangan besar kepada belanjawan Pihak Berkuasa Palestin, terutama dalam masa kritikal.

Beliau menyatakan "EU terus memberikan sokongan yang signifikan untuk membantu membayar gaji kakitangan kerajaan dan pesara. Kami menyokong guru, pekerja kesihatan dan pekerja sosial Palestin yang penting untuk pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial. Sumbangan kami kepada gaji dan pencen kerajaan mengesahkan komitmen kami terhadap usaha membina negara Palestin."

EU juga menggesa Israel untuk berhenti menahan hasil cukai Palestin dan menghormati kewajipannya di bawah perjanjian sedia ada.

Ia juga menyeru Israel untuk mengambil langkah segera untuk memperbaiki keadaan ekonomi yang semakin merosot di wilayah yang diduduki, seperti menghapuskan sekatan ke atas akses buruh Palestin.

-- BERNAMA