KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan mampan sebanyak 5.0 peratus pada 2025 berbanding 4.9 peratus yang dianggarkan pada 2024, disokong oleh persekitaran pasaran buruh yang stabil, dasar fiskal dan monetari yang kondusif dalam keadaan ketidaktentuan luaran yang berlarutan, kata seorang pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa aktiviti pelaburan berkemungkinan menjadi pemacu utama pertumbuhan selepas kerajaan komited untuk mengubah Malaysia menjadi negara maju.

Sehubungan itu, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) melalui inisiatif GEAR-uP ditetapkan bagi memperuntukkan RM120 bilion untuk menerajui pelaburan domestik dalam tempoh lima tahun.

"Inisiatif ini akan membuka kunci potensi pertumbuhan Malaysia melalui pelaburan dalam sektor dan pertumbuhan bernilai tinggi (HGHV) seperti peralihan tenaga, pembuatan termaju, khususnya industri semikonduktor selain merentasi semua kitaran hayat perusahaan daripada pemula niaga, modal teroka sehingga syarikat peringkat pertengahan,' katanya.


Sektor Teknologi dan AI sebagai Pemangkin Pertumbuhan

Mohd Afzanizam berkata peningkatan kecerdasan buatan yang semakin menonjol telah mengalihkan tumpuan yang lebih besar kepada sektor teknologi, meletakkannya sebagai pemacu utama untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam ekonomi.

Beliau menekankan pembangunan pusat data, yang dipacu secara ketara oleh pelaburan swasta mampu menjadi pemangkin pertumbuhan yang kritikal.

"Projek-projek ini secara langsung memberi manfaat kepada industri seperti pembinaan, hartanah, tenaga, air dan perkhidmatan sokongan lain," katanya, sambil menambah bahawa eksport berkaitan semikonduktor Malaysia dijangka sejajar dengan permintaan global yang mampan pada 2025.

Dengan memetik Perangkaan Perdagangan Semikonduktor Dunia, Mohd Afzanizam berkata jualan semikonduktor global diunjurkan berkembang pada kadar kukuh 11.2 peratus pada 2025, berikutan pertumbuhan mantap sebanyak 19.0 peratus yang disaksikan tahun lepas.


Sokongan Kerajaan untuk Pertumbuhan Domestik

Mohd Afzanizam menjelaskan melangkaui teknologi, peningkatan perbelanjaan pembangunan kerajaan, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM86 bilion untuk 2025 turut menyokong pertumbuhan domestik secara ketara.

Pelan Induk Perkongsian Awam-Swasta 2030 mampu meningkatkan tadbir urus projek dan mempercepatkan pelaksanaan.

"Projek infrastruktur utama di bawah inisiatif ini seperti lebuh raya, kereta api, pelabuhan dan lapangan terbang, bersedia untuk memacu ekonomi pembangunan serta ketersambungan," tambahnya.

Selain itu, inisiatif ekonomi peringkat negeri seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) di Selangor dan inisiatif Ekonomi Biru di Pantai Timur dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan utama.


Potensi Impak Pertumbuhan Ekonomi Global yang Perlahan ke atas Eksport dan FDI Malaysia

Mohd Afzanizam mengenal pasti geopolitik, khususnya konflik berterusan di Timur Tengah dan Ukraine, sebagai kebimbangan utama bagi 2025, yang boleh memberi kesan kepada sentimen pasaran kewangan selain berpotensi mengganggu rantaian bekalan.

Beliau juga menyebut kebimbangan mengenai potensi tarif import Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baharu, yang boleh memburukkan lagi inflasi dan memaksa Rizab Persekutuan mengekalkan pendirian dasar monetari yang ketat.

"Di dalam negeri, kemungkinan pembalikan reformasi ekonomi utama, terutamanya rasionalisasi subsidi bahan api, boleh menjejaskan keyakinan pasaran dan khususnya ringgit.

"Bagi mengurangkan cabaran ini, pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus sepanjang 2025 akan menjadi langkah berhemat. Pendekatan ini akan membantu mengecilkan jurang antara OPR dan Kadar Dana Persekutuan," tambahnya.

-- BERNAMA