JOHOR BAHRU: Akibat termakan pujuk rayu seorang wanita yang dikenali hanya dalam tempoh 20 hari, seorang penghantar barang terpaksa berputih mata selepas kerugian sebanyak RM63,826 kerana diperdaya 'love scam'.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata lelaki tempatan berusia 28 tahun itu mendakwa mengenali wanita yang menggunakan identiti disyaki palsu iaitu Leong menerusi aplikasi WeChat.

"Kejadian berlaku pada Ogos lepas. Hanya selepas 20 hari berkenalan, suspek yang disyaki wanita tempatan telah meminta bantuan kewangan daripada mangsa bagi membiayai kos perubatan ibunya yang sedang sakit.

"Suspek turut mengancam mahu memutuskan hubungan sekiranya mangsa gagal memenuhi permintaannya. Mangsa telah membuat 16 kali pemindahan wang secara dalam talian ke satu akaun bank bermula 25 Ogos hingga 16 Nov 2024," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa kemudian meminta untuk bertemu dengan suspek dan keluarganya, namun suspek mengelak untuk bertemu selain memberikan pelbagai alasan.

"Kecewa dengan tindakan suspek, mangsa membuat carian di Internet sebelum mendapati gambar profil WeChat suspek adalah milik seorang pelakon terkenal di Hong Kong. Mangsa kemudian membuat laporan polis setelah percaya dirinya menjadi mangsa cinta di alam maya atau love scam," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA