Jerman akan menerima bahagian terbesar pembiayaan dengan peruntukan sebanyak 46.5 juta euro, diikuti Itali sebanyak 37.4 juta, Romania 21.6 juta, Bulgaria 10.9 juta, dan Estonia 3.3 juta, menurut kenyataan Suruhanjaya Eropah.
"Cadangan ini... adalah tanda solidariti EU terhadap petani yang memerlukan bantuan. ...Petani kita tidak bersendirian dalam menghadapi kesan perubahan iklim," kata Pesuruhjaya Pertanian Eropah, Janusz Wojciechowski.
Dana ini diperoleh daripada Dasar Pertanian Bersama (CAP) EU 2023-2027, yang merangkumi rizab pertanian tahunan sekurang-kurangnya 450 juta euro untuk menangani gangguan pasaran dan situasi luar biasa.
Pihak berkuasa negara dijangka mengagihkan bantuan kepada petani menjelang akhir April 2025 dan mungkin menambah jumlah yang diperuntukkan dengan dana negara sehingga 200 peratus.
Cuaca buruk yang melanda pada separuh pertama tahun ini termasuk cuaca panas dan kering di Itali, fros di Estonia dan Jerman, serta gelombang haba, kemarau, dan ribut di Bulgaria.
Pada Julai lalu, Suruhanjaya Eropah juga memperuntukkan 77 juta euro daripada CAP untuk petani di Austria, Republik Czech, Poland, dan Portugal yang turut terjejas oleh cuaca buruk.
Perubahan iklim terus memberi kesan besar kepada Eropah, dengan kejadian cuaca ekstrem seperti banjir yang berlaku di Eropah awal bulan ini.
-- BERNAMA