ANKARA: Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) melaporkan enam pekerjanya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di tengah Semenanjung Gaza pada Rabu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam dua serangan udara ke atas Sekolah al-Jaouni di Kem Pelarian Nuseirat pada Rabu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Antara mangsa adalah pengurus pusat perlindungan UNRWA, kata agensi PBB itu.

"Ini adalah jumlah korban tertinggi dalam kalangan kakitangan kami dalam satu insiden," kata UNRWA.

Serangan Israel pada Rabu merupakan serangan kelima yang menimpa sekolah itu, di mana kira-kira 12,000 orang awam yang dipindahkan berlindung, sejak 7 Okt 2023.

"Tiada siapa yang selamat di Gaza. Tiada siapa yang terkecuali," kata UNRWA. "Sekolah dan infrastruktur awam lain mesti dilindungi pada setiap masa, mereka bukan sasaran."

Israel secara sistematik menyasarkan kemudahan awam, termasuk sekolah, hospital, dan tempat ibadat, dalam serangannya ke atas Semenanjung Gaza.

Menurut undang-undang perang, menyasarkan kemudahan awam boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Bulan lepas, sekurang-kurangnya 100 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan Israel ke atas Sekolah Al-Taba'een di Gaza City, tempat lebih 6,000 orang berlindung.

Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza sejak Oktober lepas, walaupun Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan resolusi menggesa gencatan senjata segera.

Hampir 41,100 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak telah terbunuh dan lebih 95,000 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Serangan Israel telah mengusir hampir keseluruhan penduduk wilayah itu di tengah-tengah sekatan yang menyebabkan kekurangan teruk makanan, air bersih, dan ubat-ubatan.

Israel berdepan tuduhan genosid atas tindakannya di Gaza di Mahkamah Keadilan Antarabangsa

-- BERNAMA