Lex Takkenberg, yang memegang pelbagai jawatan kanan di UNRWA selama 31 tahun, bercakap kepada Anadolu mengenai serangan berterusan Israel ke atas UNRWA, sekatan semasa beliau berkhidmat dan tekanan yang semakin meningkat kebelakangan ini.
Takkenberg, pengarang bersama buku "Palestinian Refugees in International Law" bersama Pelapor Khas PBB mengenai Palestin, Francesca Albanese berkata sasaran Israel terhadap UNRWA adalah sebahagian rancangan "memadamkan" kehadiran fizikal rakyat Palestin, institusi mereka, sistem pendidikan dan sejarah.
Takkenberg, seorang peguam antarabangsa berkata hubungan Israel dengan UNRWA sudah bermasalah sejak 1967.
"...Sememangnya diketahui yang Israel sentiasa mempunyai hubungan benci-cinta dengan PBB. Dan itu, sudah tentu diperluaskan kepada UNRWA.
"Antara perkara pertama yang menyinggung Israel adalah buku teks yang digunakan oleh UNRWA di sekolah-sekolahnya, yang merupakan buku teks dari Mesir dan Jordan, masing-masing mengandungi elemen yang dianggap Israel sebagai anti-Semitik," tambahnya.
Israel kemudian mula menyerang UNRWA dan ia mula menapis buku teks, mewujudkan "sandiwara" di sekelilingnya dan turut melibatkan UNESCO, tambah Takkenberg.
Lelaki berusia 65 tahun itu berkata Israel mendakwa kakitangan UNRWA di Gaza dan Tebing Barat terlibat dalam "aktiviti pengganas."
"UNRWA sentiasa berkata baik, berikan kami bukti dan kami akan mengambil tindakan segera," katanya.
"Terdapat corak berulang yang Israel membuat tuduhan dan menerbitkan tuduhan itu, tetapi tidak pernah memberikan bukti yang kukuh."
"Dan ia terus berlaku walaupun dengan serangan terbaru di bawah siasatan yang dibuka dan bahkan atas kepentingan agensi, menamatkan perkhidmatan anggota staf yang terlibat sebagai langkah berjaga-jaga," tambahnya.
Takkenberg berkata serangan Israel ke atas UNRWA semakin meningkat sejak kerajaan baharu mengambil alih terutamanya selepas 7 Okt 2023.
Pada hari sama Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengeluarkan keputusan sementara pertamanya dalam kes genosid, Israel pula mengemukakan dakwaan yang beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas pada Oktober lalu, katanya.
Menekankan kepentingan agensi PBB yang mempunyai 30,000 pekerja di kawasan itu, Takkenberg berkata ia adalah penyedia perkhidmatan awam utama yang menawarkan pendidikan, penjagaan kesihatan, perkhidmatan sosial, pembiayaan mikro dan sokongan perumahan.
"Setiap kali berlaku konflik baharu di kawasan itu, UNRWA juga menjadi talian hayat, menyediakan sokongan kecemasan."
Di Gaza, UNRWA masih merupakan tulang belakang kepada keseluruhan sistem kemanusiaan, berusaha membantu mangsa yang terselamat daripada genosid untuk terus hidup," tegas beliau.
Menekankan kepentingan simbolik UNRWA bagi rakyat Palestin, Takkenberg berkata 12 bulan sebelum penubuhan agensi itu, Perhimpunan Agung PBB memutuskan yang isu pelarian Palestin seharusnya diselesaikan terutamanya melalui hak untuk kembali dan telah mengguna pakai Resolusi 194 pada 1948.
Beliau menjelaskan resolusi itu bermakna pelarian Palestin dapat pulang ke rumah mereka.
Dengan itu, komuniti antarabangsa dan Perhimpunan Agung PBB menegaskan hak untuk kembali, yang berpunca daripada ketidaksahihan pembersihan etnik dan pengusiran paksa pelarian di Palestin, tambah beliau.
Warganegara Belanda itu menegaskan yang Israel melanggar Konvensyen Genosid dan keputusan sementara ICJ dengan menyukarkan operasi UNRWA untuk dilaksanakan.
Israel juga melanggar pendapat penasihat ICJ yang mengisytiharkan pendudukan itu haram dan mengarahkan Israel berundur dari Tebing Barat, Baitulmaqdis Timur dan seluruh Semenanjung Gaza, tambahnya.
Menyedari UNRWA meminta Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan untuk melindungi mandat, kakitangan dan operasi organisasi itu daripada terkena serangan Israel, Takkenberg menegaskan Israel bukan sahaja menyasarkan UNRWA tetapi juga semua institusi PBB.
Israel meneruskan serangan dahsyat ke atas Gaza sejak serangan Hamas pada Oktober 2023, walaupun resolusi Majlis Keselamatan PBB menuntut gencatan senjata segera.
Hampir 43,700 orang terbunuh di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan lebih 103,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Israel juga menghadapi kes genosid di ICJ kerana kerana serangan ke atas Gaza.
-- BERNAMA