IPOH: Petugas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 1,725 liter minyak diesel yang cuba diseleweng dalam satu serbuan di sebuah premis melombong pasir di Jalan Gopeng Batu 3, Batu Gajah, dekat sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata dalam serbuan sekitar pukul 7.30 pagi itu pihaknya turut menahan dua lelaki berumur 28 dan 41 tahun yang disyaki pemandu lori dan pemilik premis berkenaan untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata serbuan dijalankan oleh anggota penguat kuasa yang membuat risikan di kawasan tersebut sejak dua minggu lepas hasil maklumat awam, dan turut disita dalam serbuan itu ialah sebuah lori dan beberapa peralatan lain, yang nilainya semuanya berjumlah RM58,577.

"Kita syak kegiatan ini dilakukan oleh sebilangan pemandu lori yang menjual minyak subsidi itu secara haram pada harga RM2 seliter kepada satu sindiket yang aktif melakukan kegiatan ini sejak sebulan lepas. Pihak sindiket pula kemudiannya akan menjual kepada syarikat pelombong pasir di premis itu pada harga RM2.80 seliter untuk kegunaan jentera melombong pasir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kes itu akan disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

-- BERNAMA