GAZA: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran tentang kebuluran yang bakal melanda rakyat Palestin di Gaza.

Menerusi hantaran di X, agensi PBB, yang kini berdepan larangan operasi oleh Israel dalam tempoh tiga bulan memetik kata-kata seorang ibu di Khan Younis, Gaza, Mahdia, penduduk di wilayah tersebut juga bakal menghadapi kepupusan.

Jelasnya, perkara itu akan terjadi jika bantuan tidak diberikan UNRWA.

Katanya, operasi UNRWA adalah penting untuk memenuhi keperluan asas mereka yang telah kehilangan segala-galanya.

Menurut hantaran itu lagi, Mahdia dilaporkan terpaksa berpindah untuk kali kelapan.

Dia juga terpaksa membakar roti untuk mengisi perut enam anaknya di sebuah pusat perlindungan UNRWA yang sesak di Khan Younis.

Bagaimanapun, kekurangan bekalan tepung mengancam kelangsungan hidup mereka yang membuatkan Mahdia bimbang tentang masa depannya.

Sebelum ini, pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran mengenai krisis yang semakin memuncak di utara Gaza, dengan menyatakan bahawa kebuluran akan berlaku di wilayah itu.

Amaran itu dikeluarkan selepas beliau merujuk kepada penemuan baharu daripada Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC).

Data itu, jelas beliau, menunjukkan terdapat kemungkinan besar bahawa kebuluran akan berlaku di utara Semenanjung Gaza.