Menurut Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) menerusi satu hantaran di X, fasiliti milik badan dunia itu mesti dilindungi pada setiap masa.
Kenyataan itu dibuat susulan serangan rejim Zionis yang memusnahkan pejabat UNRWA di utara Tebing Barat yang diduduki pada Khamis.
Pesuruhjaya Agungnya Philippe Lazzarini dalam satu hantaran di X berkata, serangan itu menyebabkan pejabat itu tidak lagi boleh digunakan.
Pejabat tersebut menawarkan perkhidmatan asas kepada lebih daripada 14,000 pelarian Palestin di Kem Nur Shams.
Ini termasuk pendidikan untuk kanak-kanak, kesihatan, sanitasi dan perlindungan sosial.
Kata Lazzarini lagi, dalam operasi ketenteraan Israel itu, rangkaian jalan raya, air, dan elektrik di kem tersebut turut dimusnahkan.
Beliau sekali lagi menegaskan bahawa fasiliti PBB perlu dilindungi meskipun dalam situasi konflik.