Hujan lebat yang melanda sebahagian besar Korea Selatan pada Ahad meragut enam nyawa manakala tujuh lagi belum ditemukan.

Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan republik tersebut berkata hujan lebat yang turun telah mengakibatkan tanah runtuh di puluhan kawasan, selain membanjiri kawasan perumahan dan jalan raya serta memusnahkan beberapa struktur di tebing sungai.

Sebilangan besar kerosakan berlaku di kawasan metropolitan Seoul dan wilayah tengah.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memberikan perincian bagaimana enam mangsa tersebut terkorban.



BACA: Banjir timpa bandar Daejeon, ratusan kediaman alami kerosakan

Media tempatan melaporkan mangsa tersebut mungkin ditimbus lumpur akibat tanah runtuh atau lemas selepas dihanyutkan air banjir.

Kata kementerian itu lagi, hujan lebat itu turut mencederakan enam orang dan menyebabkan 360 yang lain kehilangan tempat tinggal.

Kawasan Seoul dan wilayah tengah dijangka akan terus menerima hujan lebat sehingga pagi Isnin.