LEEDS: Dua lelaki dari bandar Leeds di utara England dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah atas kesalahan bermotifkan perkauman semasa protes antiimigrasi baru-baru ini di bandar tersebut.

Jordan Parlour, 28, disabit kesalahan kerana menerbitkan bahan bertulis yang bertujuan untuk membangkitkan kebencian kaum dan dijatuhi hukuman 20 bulan penjara, dengan separuh daripadanya dijalani di dalam tahanan.

Sementara Jordan Plain, 30, disabit kesalahan melakukan gangguan yang disengajakan dengan niat perkauman selepas dia didapati membuat isyarat dan kenyataan perkauman serta menghina umat Islam yang berada berhampiran dalam protes balas.

Plain dijatuhi hukuman lapan bulan penjara, dengan separuh daripada tempoh tersebut dijalani di dalam tahanan.

Hampir 600 orang telah ditangkap setakat ini kerana terlibat dalam, atau menggalakkan serangan ke atas penduduk Islam dan kumpulan pendatang dan lokasi lain serta pihak polis secara dalam talian sejak akhir bulan lalu.

Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kehakiman menunjukkan bahawa lebih daripada 150 orang yang didakwa telah pun dihadapkan ke mahkamah.

Puluhan daripada mereka telah dijatuhi hukuman penjara dengan kes-kes dipercepatkan melalui sistem keadilan.

Tuduhan juga telah dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam protes balas.