NEW DELHI: Golongan doktor muda di India enggan menghentikan mogok apabila beribu-ribu pekerja profesional itu terus mengadakan protes di seluruh negara.

Antara lain, mereka menggesa persekitaran kerja lebih selamat susulan kematian seorang doktor pelatih yang dirogol dan dibunuh di sebuah hospital di Kolkata baru-baru ini.

Bantahan itu yang dilancarkan sejak 9 Ogos lalu, menyaksikan doktor-doktor muda enggan merawat pesakit bukan kecemasan, sekali gus mengakibatkan perkhidmatan kesihatan terjejas di beberapa buah hospital utama.

Ia susulan kematian doktor pelatih berusia 31 tahun di Kolej Perubatan dan Hospital RG Kar di Kolkata, dalam kes dipercayai rogol beramai-ramai, yang mencetuskan kemarahan orang ramai serta golongan doktor.

Jurucakap doktor muda yang mengadakan mogok di pekarangan kolej berkenaan, Dr Aniket Mahata berkata, beliau dan rakan-rakan akan meneruskan bantahan sehingga tuntutan mereka dipenuhi.

Sebagai tanda solidariti dengan doktor-doktor tersebut, ribuan penyokong dua kelab bola sepak terbesar di negeri ini turut berarak di jalan-jalan Kolkata dengan laungan ‘Kami Mahukan Keadilan’.

Selain Kolkata, mogok sama turut diadakan di negeri Odisha, New Delhi dan Gujarat.

Laporan menyebut, seorang sukarelawan polis telah ditahan dan akan didakwa atas jenayah tersebut.

Kerajaan mendesak doktor untuk kembali bertugas sementara sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi meningkatkan langkah keselamatan serta perlindungan untuk profesional penjagaan kesihatan.

Aktivis wanita di India menekankan persamaan kes tersebut dengan satu insiden rogol dan bunuh seorang pelajar berusia 23 tahun di dalam sebuah bas yang bergerak di New Delhi pada tahun 2012.