CALIFORNIA: Dana Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) ketika ini berada pada tahap membimbangkan dan di ambang kejatuhan, kata Presiden Perhimpunan Agung PBB, Dennis Francis.


Ringkasan AI
  • Krisis Kewangan: UNRWA menghadapi krisis kewangan yang serius. Dana mereka hanya mencukupi hingga September ini sahaja, walaupun mandatnya dilanjutkan hingga Jun 2026. Kekurangan belanjawan boleh memaksa UNRWA menghentikan operasi, yang akan memberi kesan teruk kepada golongan pelarian Palestin yang bergantung pada mereka.
  • Peranan UNRWA: UNRWA menyediakan perlindungan dan perkhidmatan penting kepada 5.9 juta pelarian berdaftar. Mereka menguruskan 58 kem pelarian Palestin dan menangani keperluan kemanusiaan lebih daripada 1.6 juta orang di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza, dan Wilayah Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.
  • Pemangkin Harapan: UNRWA adalah faktor penting yang memberikan harapan dan kestabilan di kawasan yang bergolak. Perlindungan dan perkhidmatan mereka membantu golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak, dan orang kurang upaya (OKU) dalam kalangan pelarian Palestin.


Menurut Francis, organisasi itu dianggarkan mempunyai dana untuk beroperasi setakat sehingga September ini sahaja.

Jelas beliau, kekurangan belanjawan boleh memaksa UNRWA menghentikan operasi pada tahun ini, walaupun mandatnya dilanjutkan hingga Jun 2026.

"Jika UNRWA menghentikan beroperasi, golongan pelarian Palestin yang rentan dan tiada tempat lain untuk bergantung akan mengalami penderitaan yang teruk.

"Perlu difikirkan bahawa rayuan kecemasan UNRWA kini kekurangan pembiayaan yang kritikal, hanya mencapai 18 hingga 19 peratus. Pembiayaan ini hanya mencukupi bekalan makanan bagi penduduk Gaza sehingga hujung September," katanya seperti dilapor Reuters.

Francis menambah UNRWA menyediakan perlindungan kepada 5.9 juta pelarian berdaftar, termasuk kumpulan rentan seperti wanita, kanak-kanak, dan orang kurang upaya (OKU).

Selain itu, agensi antarabangsa itu menguruskan 58 kem pelarian Palestin yang diiktiraf, menangani keperluan kemanusiaan yang genting bagi lebih 1.6 juta orang di Jordan, Lubnan, Syria, Semenanjung Gaza, dan Wilayah Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur.

UNRWA telah diwujudkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada tahun 1949 berikutan perang pertama antara Arab-Israel.