BANGKOK: Thailand memulakan program vaksinasi untuk pelajar berusia 12 tahun ke atas dengan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech dalam usaha mewujudkan persekitaran selamat untuk pelajar mengikuti kelas secara fizikal pada November.

Kementerian Pendidikan menyasarkan menyuntik lebih 5.04 juta pelajar dan keutamaan adalah kepada pelajar di Bangkok dan 28 wilayah zon merah gelap.

Terdahulu, Perdana Menteri Prayut Chan o-cha melancarkan program vaksinasi di Sekolah Phiboon Uppatham di daerah Huai Khwang, Bangkok.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 3.68 juta pelajar telah memohon untuk vaksinasi COVID-19 dengan sekurang-kurangnya 85 peratus guru dan kakitangan harus diberi vaksin lengkap sebelum sekolah dapat dibuka semula.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr Opas Karnkawinpong berkata, pelajar perempuan akan menerima suntikan dos kedua sekurang-kurangnya selang empat minggu.

Namun, katanya suntikan kedua untuk pelajar lelaki masih belum dapat dipastikan kerana pegawai kesihatan perlu menilai keadaan mereka selepas dos pertama.

"Ketidakpastian untuk pelajar lelaki berikutan laporan bahawa vaksin mRNA menyebabkan lebih banyak kesan sampingan pada remaja lelaki berbanding perempuan. Kesan sampingannya akan hilang dalam jangka masa tertentu," katanya.

Dr Opas berkata, untuk pelajar sekolah bukan di bawah Kementerian Pendidikan seperti sekolah agama dan sekolah dikendalikan polis peronda sempadan, persekolahan di rumah dan juga pelajar asing, vaksin akan diberi secara percuma.

Namun, pihak sekolah perlu menghubungi pejabat pendidikan setempat, tambahnya.

Sementara itu, Thailand merancang untuk menyuntik enam juta kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun dengan vaksin COVID-19 pada tahun depan, apabila ia mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, rancangan itu masih menunggu kelulusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Thailand.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 9,930 kes baharu COVID-19 dan 97 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara sebanyak 1,647,362 dan 17,111 kematian.

-- BERNAMA