Pengarah Eksekutif Agensi Pembangunan Teknologi Geo-Informatik dan Angkasa (GISTDA) Pakorn Apaphant menandatangani perjanjian itu bagi pihak Thailand dalam satu majlis di Bangkok pada Isnin.
Acara itu turut dihadiri Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand Supamas Isarabhakdi serta Duta Amerika Syarikat ke Thailand, Robert Godec.
Pakorn melahirkan keyakinan terhadap peranan Thailand dalam komuniti angkasa global.
"Thailand akan memasuki zaman kegemilangan penerokaan angkasa lepas secara menyeluruh," katanya sambil menekankan cita-cita negara itu untuk memajukan program angkasa lepas dan bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa.
Sementara itu, Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) Bill Nelson menyatakan bahawa komitmen Thailand terhadap Perjanjian Artemis akan meningkatkan penglibatan negara itu dengan NASA dan masyarakat antarabangsa.
"Dengan menandatangani perjanjian ini, Thailand membina asas penting dan menunjukkan kepimpinan hebat untuk penerokaan angkasa lepas yang terbuka, bertanggungjawab dan aman," kata Nelson dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawang NASA pada Isnin.
Perjanjian Artemis ialah satu set prinsip yang tidak mengikat untuk meningkatkan tadbir urus penerokaan dan penggunaan angkasa lepas.
Ia mencerminkan visi bersama negara penandatangan untuk kerjasama dalam penerokaan angkasa lepas, termasuk program Artemis NASA, yang bertujuan untuk membawa manusia kembali ke Bulan dan bersiap sedia untuk misi pada masa depan ke Marikh.
Penyertaan Thailand menggariskan minat dan kepimpinannya yang semakin meningkat dalam bidang sains dan teknologi angkasa lepas.
-- BERNAMA