SINGAPURA: Susulan pertambahan kes COVID-19 dalam kalangan komuniti, Kementerian Kesihatan Singapura mengingatkan orang ramai supaya mengehadkan perjumpaan sosial.

Menurut laporan, walaupun penguatkuasaan itu telah pun dilaksanakan yang mengehadkan lapan orang dalam satu-satu masa, kini perjumpaan sosial itu dihadkan lagi kepada hanya dua orang dalam sehari.

“Sejak beberapa minggu lalu, kita saksikan peningkatan kes positif dalam kalangan komuniti dan sebilangan daripada mereka tidak dapat dikenal pasti punca atau kontak rapatnya.

“Untuk itu, kita perlu bertindak pantas untuk mengurangkan tahap interaksi dalam kalangan komuniti untuk memutuskan rantaian jangkitan.

"Untuk masa akan datang, kesemua individu harus mengehadkan perjumpaan sosial sesama mereka, tidak melebihi dua orang dalam masa satu hari, sama ada mengunjungi rumah orang lain mahupun bertemu dengan rakan atau ahli keluarga di tempat awam,” lapor kementerian itu.

Langkah tersebut dilaksanakan bermula hari ini hingga 14 Mei.

Bermula hari ini juga, had kapasiti di pusat membeli-belah dan kedai-kedai besar akan dikurangkan kepada satu orang bagi setiap 10 meter persegi, berbanding satu orang bagi setiap 8 meter persegi sebelum ini.

Manakala, sekatan masuk untuk hari ganjil dan genap juga akan kembali dikuatkuasakan di pusat membeli-belah Lucky Plaza dan Peninsula Plaza yang popular pada Ahad.

Untuk rekod, sejumlah 24 kes baharu COVID-19 disahkan pada Jumaat, membawa kepada jumlah keseluruhan 61,145.

Daripada jumlah itu, sembilan kes melibatkan kluster Hospital Tan Tock Seng yang kini mencatatkan 13 kes keseluruhan.