SINGAPURA: Pereka flora Malaysia, Jun Lim memenangi hadiah utama dalam Pertandingan Reka Bentuk Flora Piala FDSS Antarabangsa ke-13, iaitu pertandingan reka bentuk flora terkemuka di Singapura yang menampilkan bakat-bakat terbaik antarabangsa, pada Rabu.

Lim, 37, menyertai pertandingan itu sejak 2010 dan hanya terlepas edisi 2016 kerana cuti bersalin, akhirnya meraih tempat teratas selepas menduduki tempat ketiga pada 2014, 2018 dan 2022.

Pertandingan yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Suntec Singapura itu dianjurkan oleh Persatuan Pereka Flora (Singapura) (FDSS) bersempena dengan Festival Taman Singapura (SGF) 2024 yang menampilkan 19 peserta dari sembilan negara termasuk Korea Selatan, Hong Kong dan Macau.

"Pameran tahun ini mengenakan piawaian yang sangat tinggi dan menjadikan kemenangan ini lebih bermakna.

"Saya tidak meletakkan harapan tinggi kerana reka bentuk flora adalah satu bentuk seni yang boleh dilihat secara berbeza oleh panel penilai setiap tahun," katanya dalam kenyataan bersama oleh Lembaga Taman Negara (NParks) dan SGF.

Lim menerima wang tunai berjumlah S$1,000 (S$1=RM3.38), trofi dan sijil.

Peserta dari Korea Selatan, Yun Junseo dan Kim Hyojeong, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga, dengan Yun membawa pulang S$800 dan Kim S$600.

Seorang lagi peserta dari Malaysia, Junna Teh Tzy Ting, menerima Anugerah Merit, bersama Cao Xue dari China dan Law Choon Poh dari Singapura.


Pertandingan kali ini, julung kalinya disatukan di bawah tema "Designing and Sustainability in Floristry", yang menggabungkan konsep 3R iaitu Kurangkan, Guna Semula, dan Kitar Semula atau Reduce, Reuse and Recycle dalam tugasan reka bentuk.

Para pereka dikehendaki mencipta tiga reka bentuk dalam tempoh masa empat jam dan 15 minit, dan dinilai oleh pereka flora terkenal dunia termasuk Ahti Lyra dari Estonia, Hiroto Inoue (Jepun) dan Iza Tkaczyk (Poland).

-- BERNAMA