KUALA LUMPUR: Di titik merah kecil di atas hamparan atlas, terletaknya ekonomi dengan nilai lebih AS$500 bilion, yang juga antara 30 ekonomi utama dunia. Ia merupakan tuan rumah kepada pelabuhan laut paling besar dan kedua paling sibuk di dunia; mengendalikan hampir 40 juta kontena 20 kaki (TEU) pada 2023.


Ringkasan AI
  • Populasi Menurun dan Menua: Kadar kelahiran yang rendah dan populasi yang menua menimbulkan cabaran besar, dengan jangkaan satu dalam empat rakyatnya akan mencapai usia emas menjelang 2030.
  • Kenaikan GST untuk Menyokong Warga Emas: Kerajaan menaikkan kadar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk mengumpul dana bagi menangani keperluan populasi tua.
  • Strategi Kesihatan Berteraskan Komuniti: Peralihan fokus kepada penjagaan kesihatan berteraskan komuniti dan intervensi awal untuk memastikan warga emas dapat hidup lebih sihat dan bermakna.


Dalam persaingan membina pusat data mega dalam perlumbaan digitalisasi, Singapura mengoperasikan lebih 70 pusat data, antara hub terbesar dunia.

Walau bagaimanapun, setiap kebanggaan ini berdepan cabaran yang berkemungkinan mampu menamatkan riwayat Singapura.

Pada 2024, Singapura melaporkan kadar kelahiran 0.97 bayi bagi setiap wanita, menjadikannya antara 10 negara paling rendah kelahiran baharu. Lebih parah apabila republik tersebut menjangkakan menjelang 2030, satu dalam empat rakyatnya menjangkau usia emas.

Penulis berkesempatan menemu bual Menteri-menteri Kabinet Singapura untuk mendalami isu ini melaku program Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) 2024 anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada akhir Julai lalu.


Laporan Khas Bulan Kebangsaan: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun

Menyentuh mengenai populasi menua, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan & Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata meskipun rakyat Singapura hidup lebih lama, namun warga emas ini terdedah kepada situasi hidup terikat kepada rawatan-rawatan di fasiliti kesihatan untuk tempoh 10 terakhir hayat mereka.

“Jangka hayat masyarakat hari ini adalah sekitar 85 tahun. Sebahagian daripada kami akan hidup sehingga 85 tahun. Tetapi masalahnya ialah Jangka Hayat Mengikut Pelarasan Kesihatan (HALE) ialah sekitar 74 tahun. 

“Ini bermakna, walaupun anda hidup sehingga 84 tahun, anda perlu keluar masuk hospital untuk 10 tahun terakhir hidup. Kita ada dua masalah yang perlu diselesaikan. Pertama, kita akan hidup lebih lama. Jika pencen pada usia 55 tahun, maka ada lagi 30 tahun untuk hidup tanpa pendapatan. Dan lebih penting, anda akan hidup tanpa hala tuju,” katanya.

Bagi mempersiapkan Singapura dengan kedudukan fiskal yang lebih menyakinkan untuk mendanai keperluan kumpulan warga emas ini, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan & Menteri Kedua Pembangunan Negara, Indranee Rajah, berkata kerajaan mengambil keputusan untuk menaikkan kadar cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Dalam konteks populasi menua, ada sebab untuk kami naikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kami naikkan kadar GST sebanyak dua peratusan mata, kerana kami mahu bersedia menjelang 2030, apabila satu daripada empat atau 25 peratus daripada populasi berusia 65 dan keatas. 

“Maka, kami naikkan kadar GST lebih awal supaya kami ada masa untuk kumpul pendapatan bagi tujuan menangani isu-isu populasi tua,” ujarnya.

Mendepani kerunsingan ini, laporan ForwardSG dikeluarkan dengan memberi tumpuan kepada memastikan pembangunan ekonomi yang mampan, seterusnya menjamin masa depan warga Singapura untuk meneruskan lembaran hidup di usia emas.

Antara lain, Menteri Negara Kanan, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital & Kementerian Kesihatan, Dr Janil Puthucheary berkata penekanan diberikan kepada peralihan perkhidmatan kesihatan daripada bersifat institusi kepada komuniti.

“Kami ada strategi Age Well SG. Tetapi fokusnya kepada sistem kesihatan secara menyeluruh. Ada beberapa prinsip yang cuba diaplikasikan, yang melibatkan seluruh populasi, khususnya warga emas. 

Sebagai persiapan kearah penuaan, pertama ialah peralihan kepada penjagaan kesihatan berteraskan komuniti, berbanding institusi. Kami akan pastikan bilik pembedahan dan hospital beroperasi dengan baik, tetapi pelaburan, sumber dan pembangunan tambahan sejak beberapa tahun yang lalu tertumpu kepada penjagaan diperingkat komuniti. 

Kedua, intervensi dalam populasi dan tidak sekadar tunggu sehingga orang sakit. Lakukan sesuatu untuk mereka semasa mereka sihat dan sertakan ubatan pencegahan, pemeriksaan kesihatan, pemakanan, nutrisi, riadah, tidur dan rangkaian sosial yang baik,” katanya.

Dalam konteks industri, perbincangan dan kebimbangan lain berbangkit. Tiada tenaga kerja baharu, tenaga kerja sedia ada semakin tua, dan timbul persoalan mengenai siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan yang akan ada.

Antara solusi yang digarap Singapura ialah keyakinan bahawa teknologi akan mengubah landskap perkerjaan, seterusnya mengubah landskap tenaga berkemahiran yang diperlukan, yang tidak semestinya terbatas kepada had usia semata-mata.

Lebih daripada itu, Singapura tidak hanya lihat ke dalam, sebaliknya sedia membuka sempadannya untuk bakat luar.

“Satu cara untuk tangani populasi menurun adalah dengan membenarkan kemasukan (bakat) dari luar negara. Tetapi di Singapura, kami juga mahu pastikan populasi asal itu kekal Singapura. 

“Perkara ini mesti berlaku, kerana anda perlu faham bahawa keturunan Singapura untuk belajar, sayang dan hidup untuk negara. Migran juga boleh buat demikian, kebiasaan generasi kedua. Generasi kedua akan mula berasimilasi. 

“Kami ada insentif untuk bantu keluarga tempatan melahirkan anak, dan pada masa sama kami juga ada kaedah untuk mengalu-alukan bakat asing datang dan berasimilasi dengan penduduk tempatan, seterusnya menjadi warganegara,” jelas Masagos Zulkifli.

Janil pula berkata Singapura akan terus bergantung kepada bakat asing dalam pasaran tempatan pada kadar yang diperlukan oleh industri, memandangkan Singapura kekal berprinsip sebagai sebuah negara ekonomi terbuka.

Walaupun zahirnya Singapura terbuka kepada semua bakat asing, pintu yang dibuka tidak seluas yang disangka. Ini kerana, akhirnya bakat tempatan sentiasa diberikan keutamaan.

Singapura menguatkuasakan kuota pekerja atau bakat asing bagi setiap syarikat berdasarkan kepada Nisbah Kebergantungan Siling (DRC) yang berbeza bagi pelbagai industri.

Bagi sektor pembinaan 83.3 peratus daripada keseluruhan pekerja syarikat bekenaan boleh diisi oleh pekerja asing. Manakala sektor pemprosesan (83.3 peratus), limbungan marin (77.8 peratus), pembuatan (60 peratus) dan sektor perkhidmatan hanya 35 peratus daripada keseluruhan pekerja sesebuah perniagaan boleh diisi oleh pekerja asing.

Menurut, Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan & Kementerian Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad, kemasukan pekerja dan bakat asing ini, antara lain pantau melalui pemberian pas-pas tertentu.

“Bagi Pas Pekerja, kami sudah perkenalkan COMPASS iaitu satu sistem berasaskan mata yang menilai keupayaan individu dan faktor-faktor utama syarikat. 

“Empat kriteria utama ialah gaji, kelayakan, kepelbagaian warganegara dalam sesebuah syarikat dan keseimbangan bakat Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik (PMETs) tempatan. 

“Saya fikir ini sangat baik kerana syarikat-syarikat boleh merancang lebih awal dan tahu aspek yang boleh menambah atau menolak mata mereka. Kami juga ada Rangkaian dan Pas Pakar Luar Negara (Overseas Networks & Expertise Pass; ONE Pass) untuk profesional C-suite seperti pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pemula. 

“Mereka ini profesional yang ada kemahiran tertentu dan diberi keistimewaan untuk tinggal lebih lama di Singapura dan diberikan Pas Tanggungan agar keluarga juga boleh ikut serta. Kami juga ada pas khusus untuk sektor teknologi untuk menarik bakat-bakat dalam bidang tersebut ke Singapura,” katanya.

Pun begitu, kesediaan dan keterbukaan berkenaan tidak hadir secara percuma. Bagi rakyat Singapura ia bukan suatu tawaran yang boleh dibuat dengan harga yang murah.

“Semestinya, apabila berlaku persaingan akibat migrasi bakat dalam pasaran kerja tempatan, orang ramai tidak rasa gembira dengan situasi berkenaan. Saya fikir rakyat Singapura juga tidak jauh berbeza berbanding warga dunia lain apabila melibatkan sentimen sebegini. 

“Apabila mereka nampak ramai bakat asing bekerja dalam bidang pekerjaan yang sama dengan mereka, pastinya mereka bimbang dan mempersoalkan sama ada migrasi bakat ini saksama untuk mereka. 

“Dalam usaha untuk menangani isu ini, ada beberapa dasar yang dirangka untuk memastikan majikan mencari bakat Singapura terlebih dahulu untuk sebarang penjawatan. 

“Kaedahnya ialah dengan mengetatkan migrasi bakat asing, khususnya untuk pekerjaan bergaji tinggi dengan pengecualian diberikan kepada bidang yang mempunyai kurang sumber bakat tempatan sama ada dari segi kualiti atau kuantiti,” jelas Pakar Ekonomi Singapore University of Social Sciences, Prof Madya Walter Edgar Theseira. 

Malaysia juga berdepan cabaran yang hampir serupa. Dalam sidang Parlimen pada Julai lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dirangka untuk menangani isu kekurangan bakat tempatan dalam sektor-sektor ekonomi tertentu.

Antara lain, kerajaan mensasarkan 60,000 bakat berkemahiran tinggi dalam sektor semikonduktor dan menggerakkan usaha untuk membawa lebih ramai bakat warganegara yang tinggal di luar negara.

Pada masa sama, Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporannya pada tahun 2022 menjangkakan, Malaysia akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila penduduk negara ini merangkumi warganegara yang berusia lebih 60 tahun dalam pola 15.3 peratus daripada jumlah penduduk negara.

Situasi ini boleh digambarkan seperti gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah, yang mana populasi Malaysia semakin tua tetapi lebih banyak bakat perlu mengisi penjawatan. Jika tidak diselesaikan dengan baik negara akan dihimpit dua gelombang besar ini.

Sempena bulan kemerdekaan Malaysia dan Singapura pada Ogos, mungkin ini masa yang sesuai untuk kita menghargai pencapaian masing-masing, dan menjadi titik untuk kita berganding mengatasi isu yang menghantui pembangunan negara.

Theseira menegaskan Malaysia dan Singapura perlu mencari jalan untuk membantu antara satu sama lain dan jadikan kedua-kedua pihak lebih baik. 

“Saya fikir ini penting apabila kita berbincang soal pasaran kerja, kerana ada masanya kelihatan seperti sebelah pihak menerima manfaat yang lebih daripada satu lagi pihak. Ini merupakan mentaliti yang bermasalah,” katanya lagi.

Melangkah ke depan, dasar dan tindakan perlu dinilai untuk memastikan bakat-bakat tempatan terus mendapat tempat dalam industri masa depan, pada masa yang sama ekonomi terus berkembang untuk menyumbang kepada kantung perbelanjaan kebajikan populasi yang semakin menua.

Malaysia ada pendekatan tersendiri, Singapura juga ada cara tersendiri. Namun, sebagai negara berjiran di rantau ekonomi kelima terbesar dunia, Malaysia dan Singapura perlu bergerak seiringan.

Selamat Hari Kebangsaan Singapura. Selamat Hari Kebangsaan dan dirgahayu Malaysia.