Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia digesa campur tangan untuk menangguhkan hukuman mati terhadap Pannir Selvam Pranthaman yang disabitkan kesalahan mengedar dadah di Singapura.
- Ahli Parlimen Ramkarpal Singh berpendapat bahawa Pannir Selvam adalah seorang keldai dadah dan tidak patut digantung mati, memandangkan sindiket dadah masih bebas.
- Pannir Selvam telah memberikan maklumat dan kerjasama penting kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura, dan diharapkan hukuman mati terhadapnya tidak diteruskan.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, kerajaan perlu memohon untuk menangguhkan hukuman mati memandangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membuka kertas siasatan.
"Kami berpendapat bahawa Pannir Selvam, 30, merupakan seorang keldai dadah dan tidak patut digantung mati sedangkan sindiket dadah di luar masih bebas dan barangkali sedang menyusun strategi baharu untuk merekrut mangsa dari Malaysia untuk membantu mereka membawa bungkusan dadah merentas sempadan tanpa mengetahui kandungannya.
"Memandangkan maklumat dan kerjasama yang telah diberikan oleh Pannir Selvam mustahak dan penting dalam proses siasatan di Malaysia maka kami merayu agar negara Singapura tidak melaksanakan hukuman mati terhadap Pannir Selvam," katanya pada sidang media di Parlimen di sini, pada Isnin.
Ramkarpal mewakili tiga lagi wakil rakyat, masing-masing Wong Chen (Subang); Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera) dan P Prabakaran (Batu).
Dalam pada itu, Ramkarpal turut berharap, Pannir Selvam dibenarkan kembali ke Malaysia untuk menjalani hukuman penjara sambil membantu siasatan kes membabitkannya.
Beliau berkata, kerajaan wajar berbuat demikian memandangkan Pannir memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia dan Singapura, selain kedua-dua negara diharap tidak meneruskan hukuman mati ke atasnya.
Menurutnya, keluarga Pannir Selvam sudah membuat laporan polis berhubung maklumat mengenai seorang perekrut dari Malaysia, pada 12 Februari lalu, selain mahu mengetahui perkembangan siasatan kes terbabit.
Selepas 10 tahun, kata beliau, keluarga Pannir Selvam akhirnya menerima pengesahan daripada polis bahawa kertas siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan itu.
Namun beliau memberitahu, ahli keluarganya menerima notis pelaksanaan hukuman mati yang dijadual dilakukan Khamis ini, pada Ahad.
"Walaupun Mahkamah Tinggi Singapura memutuskan Pannir mengangkut dan menghantar dadah di bawah Seksyen 33B(2)(a)(i) Akta Penyalahgunaan Dadah 1973, dia tidak diberikan Sijil Bantuan Substantif.
"Sijil ini pengiktirafan daripada Pendakwa Raya Singapura mengenai Pannir sudah memberi maklumat penting bagi membantu siasatan kes dadah di negara berkenaan," katanya.
Pada 2017, Pannir disabitkan dengan kesalahan di mahkamah Singapura kerana bertindak sebagai penghantar dadah dengan membawa 51.84 gram heroin ke negara itu, kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia ditahan di pos pemeriksaan Woodlands, pada September 2014.
Di bawah undang-undang Singapura, seseorang yang didapati bersalah mengedar lebih 15g diamorphine atau heroin tulen atau lebih 250g methamphetamine, atau lebih 500g ganja, boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
