KUALA LUMPUR: Sekilas pandang Singapura mempunyai mempunyai limpahan tunai yang mungkin tidak habis dibelanjakan untuk 100 tahun akan datang.


Ringkasan AI
  • Singapura mengamalkan simpanan rizab untuk memastikan kelangsungan operasi kerajaan dan perkhidmatan.
  • Perbelanjaan kerajaan dijangka meningkat kepada 20% daripada KDNK, maka kadar Cukai Hartanah dan GST telah dinaikkan.
  • Surplus fiskal digunakan untuk memberi subsidi kepada Generasi Perintis tanpa membebankan generasi muda.


Republik tersebut mempunyai rizab lebih SGD900 bilion berdasarkan kepada angka rasmi dan pegangan Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS); syarikat pelaburan kerajaan iaitu Temasek; dan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura (GIC). 

Untuk konteks, nilai tersebut mengikut tukaran RM3.37 bagi SGD1, bersamaan lebih RM3 trilion iaitu tiga kali ganda nilai hutang keseluruhan kerajaan Malaysia.

Ini tidak termasuk rizab yang dipegang oleh Kumpulan Wang Simpanan Pusat (CPF) dan perbadanan hartanah milik kerajaan iaitu JTC Corporation dan Lembaga Pembangunan Perumahan (HDB).

Penulis berkesempatan menemu bual Menteri-menteri Kabinet Singapura untuk mendalami isu ini melalui program Malaysian Journalist Visit Programme (MJVP) 2024 anjuran Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada akhir Julai lalu.



LAPORAN KHAS Bulan Kebangsaan MY-SG: Disiplin fiskal persiapan cabaran masa depan

Mengulas mengenai kedudukan kewangan kerajaan Singapura, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Menteri Kedua Kesihatan dan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli Masagos Mohamad berkata amalan simpanan rizab ini bertujuan memastikan kelangsungan republik itu.

"Singapura menguruskan belanjawan. Dalam perlembagaan, kerajaan tidak boleh meminjam dan biaya perbelanjaan berulang. Kerajaan berikutnya hanya boleh belanjakan apa yang ada sahaja. 

“Sejak 10 tahun lalu, kerajaan boleh membelanjakan 50 peratus daripada keuntungan itu dalam satu penggal kerajaan. Baki 50 peratus kekal disimpan dalam rizab untuk jana lebih banyak pendapatan. Dengan rizab ini kami boleh teruskan operasi kerajaan dan menyediakan perkhidmatan,” katanya.

Oleh yang demikian, berapa sebenarnya jumlah rizab Singapura?

Hanya spekulasi berdasarkan laporan rasmi. Ada laporan yang mengunjurkan rizab ini mencecah sekitar SGD2 trilion.

Ini kerana, menurut Kementerian Kewangan Singapura, angka sebenar dana kerajaan yang diuruskan oleh GIC tidak dilaporkan sepenuhnya. 

Namun, sebanyak manapun rizab yang ada, ia tidak akan mampu menampung keperluan Singapura.

Demikian kenyataan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Parlimen pada Februari lalu.

Berdasarkan laporan ForwardSG, perbelanjaan kerajaan akan meningkat kepada 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tertumpu kepada peningkatan kos penjagaan kesihatan.

Berdepan cabaran ini, Masagos Zulkifli menegaskan disiplin pengurusan fiskal negara merupakan kata kunci yang mustahak.

"Pilihan raya diadakan pada 2015 dan ketika itu kami sudah ada surplus. Lebih fiskal itu dikhususkan kepada Generasi Perintis. Apa maksudnya? Ini bermaksud, kerajaan berdisiplin dalam berbelanja. 

“Maka adanya surplus belanjawan. Dan lebih ini digunakan untuk memberi subsidi kepada Generasi Perintis. Selain daripada subsidi, ini juga bermaksud penjagaan kesihatan untuk generasi ini tidak dibiayai oleh cukai yang dibayar oleh generasi lebih muda. 

“Bukan sahaja kami mengiktiraf sumbangan generasi awal ini, bahkan generasi muda juga tidak perlu terus membiayai perbelanjaan keperluan tua mereka,” katanya lagi.

BACA JUGA: LAPORAN KHAS Bulan Kebangsaan MY-SG: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun

 

Laporan Khas Bulan Kebangsaan: Mengurus bakat dalam senario populasi menua, menurun
 
Bagi mengekalkan prestasi kewangan yang berkembang, Singapura juga perlu meningkatkan kadar cukai bagi menampung perbelanjaan awam.

Kadar cukai hartanah meningkat kepada 12 hingga 36 peratus dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga dinaikkan kepada sembilan peratus berkuatkuasa tahun ini.

Menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan & Menteri Kedua Pembangunan Negara, Indranee Rajah, kenaikan ini disifatkan kecil bagi membolehkan simpanan untuk digunakan pada masa akan datang dikutip bermula hari ini.

"Dalam konteks populasi menua, ada sebab untuk kami naikkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kami naikkan kadar GST sebanyak dua peratusan mata, kerana kami mahu bersedia menjelang 2030, apabila satu daripada empat atau 25 peratus daripada populasi berusia 65 dan ke atas. 

“Maka, kami naikkan kadar GST lebih awal supaya kami ada masa untuk kumpul pendapatan bagi tujuan menangani isu-isu populasi tua. Pada masa sama, pastinya kita perlu kekal kedudukan ekonomi yang kuat kerana hanya dengan pendapatan yang banyak, barulah kami mampu memberikan sokongan sosial yang baik,” ujarnya.

Peningkatan cukai yang pelbagai ini tidak hadir tanpa peningkatan gaji yang munasabah.

Pekerja di Singapura menikmati kadar peningkatan gaji sekitar empat peratus pada 2023, dan trend yang sama dijangka terus kekal pada tahun ini, khususnya untuk pekerjaan berkemahiran tingg.

Manakala, bagi pekerjaan berkemahiran sederhana dan rendah dengan kadar gaji murah, Singapura terus memperkemaskan Model Gaji Progesif (PWM).

Secara umum, Singapura menggunakan pendekatan intervensi di peringkat awal dan beralih keluar daripada pasaran secara berperingkat agar tidak berlaku sebarang kejutan.

Menteri Negara Kanan, Kementerian Pertahanan & Kementerian Tenaga Manusia, Zaqy Mohamad menjelaskan PWM kini memberi manfaat kepada sembilan daripada 10 pekerja bergaji rendah, yang telah menyaksikan peningkatan gaji sehingga 30 peratus bagi 20 peratus pekerja dengan gaji terendah di Singapura.

"Kerajaan juga berikan Skim Kredit Gaji Progresif (PWCS), yang berupa rebat kepada majikan yang membayar kenaikan gaji pekerja dibawah skim PWM. Kita bermula dengan rebat sebanyak 75 peratus pada tahun pertama, 75 peratus pada tahun kedua, 50 peratus pada tahun ketiga, dan tahun depan turun kepada 30 peratus. 

“Ini akan terus menurun dan stabilkan pasaran dengan memberi kredit kepada majikan sehingga satu standard gaji pasaran ditetapkan. Struktur gaji bagi setiap industri adalah berbeza dan dirundingkan oleh kesatuan sekerja. Ini bagi memastikan pertumbuhan gaji yang mampan kerana pasaran boleh menanggung peningkatan tersebut,” tambahnya.

Dasar yang dirangka dan hasil yang membuah daripada tindakan Singapura ini hanya menjadi realiti lantaran kestabilan politik tempatan berpanjangan dan visi kepimpinan yang jauh ke hadapan.

“Ini DNA kami. Lee Kuan Yew kata kami merupakan rakyat paling kuat bekerja di dunia. Saya juga fikir begitu. Mungkin kerana persaingan dan sistem yang ada. Ini pendapat saya. Puncanya adalah kerana kami tidak ada apa-apa. 

“Singapura banyak yang kurang. Kami tidak ada cukup air. Kami ambil dan beli air dari Malaysia. Beginilah masyarakat kami secara alami sejak mula iaitu sedar kami perlu kerja kuat. Ini takdir kami,” kata Masagos Zulkifli.

Dalam konteks Singapura, wujud sistem peralihan kepimpinan secara sistematik bagi memastikan pelaksanaan dasar tidak cacamarba seperti sekali air bah, sekali pantai berubah.

Sebaliknya ada kesinambungan membina momentum diatas kejayaan lalu.

Menyentuh mengenai hal ini, Indranee berkongsi perspektif mengenai amalan peralihan kepimpinan di Singapura.

"Kami sudah lama amalkan dan sebenarnya 1G, 2G, 3G dan 4G ini sekadar perkumpulan spontan. Realitinya, dalam setiap pilihan raya, akan ada ahli parlimen baharu dilantik dan pemegang jawatan politik yang baharu, sama ada sebagai Menteri Kanan atau Menteri Rendah. 

“Dan terlibat dalam proses Kabinet dan kerajaan sangat penting untuk urus tadbir dan dasar yang baik. Ini kerana, jika mereka tidak ada pengalaman dan tidak ada rujukan maka hasilnya pasti akan berbeza. Bagi kami kerajaan PAP, bakat akan sentiasa dibawa masuk, belajar, diuji dan diberi projek tertentu,” katanya.

Pengalamanini bermakna untuk Malaysia dan Singapura dalam citra pembangunan untuk kemakmuran bersama.

Memandangkan kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi yang erat, maka belajar daripada setiap yang baik untuk memajukan diri akan memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

"Akhirnya, Malaysia yang makmur menjadikan Singapura yang makmur. Malaysia yang bermasalah akan menjadi masalah kepada Singapura. Kita berjiran. Anda mahu hidup dalam kejiranan yang baik. 

“Kami mahu rakan-rakan Malaysia, Indonesia dan ASEAN jadi baik dan lebih baik, bahkan lebih baik daripada kami kerana kami juga akan dapat manfaat. Kita mahu rantau yang aman. Kita mahu suasana yang saling membantu satu sama lain,” tegas Masagos Zulkifli.

Bapa-bapa Kebangsaan Malaysia-Singapura memutuskan untuk memisahkan Malaysia-Singapura menjadi dua negara. Mungkin ini yang terbaik untuk semua. Namun, kita pasti boleh bersetuju bahawa bergerak ke depan, Malaysia-Singapura mesti bergandingan.

Sempena bulan kemerdekaan, kita menghargai kebebasan dan kemakmuran yang kita nikmati. Selamat Hari Kebangsaan Singapura. Selamat Hari Kebangsaan dan dirgahayulah Malaysia.