WUHAN:Kumpulan pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat mengenai asal-usul pandemik COVID-19 melawat satu lagi hospital di Wuhan pada Sabtu yang telah merawat pesakit virus berkenaan di awal penularan.

Ini merupakan hari kedua mereka melakukan tugas di bandar tersebut.

Hospital Jinyantan merupakan salah satu hospital yang mula merawat pesakit COVID-19 pada awal tahun 2020 dan memainkan peranan penting dalam mengetahui sejarah epidemiologi virus berkenaan.

Pasukan WHO itu adakan pertemuan bersemuka dengan para saintis China pada Jumaat, sebelum melawat sebuah hospital di Hubei.

Pasukan pakar yang berpangkalan di Geneva itu berkata, mereka bercadang untuk melawat hospital, pasar seperti Pasar Makanan Laut Huanan, Institut Virologi Wuhan dan beberapa makmal termasuk Pusat Kawalan Penyakit Wuhan.

"Segala hipotesis telah didedahkan dan pasukan kami akan menggunakan sains untuk memahami asal-usul virus COVID-19 ini," pasukan itu berkata dalam satu muat naik di akaun Twitter pertubuhan tersebut.

Tambahnya, pasukan itu telah meminta data terperinci dan bercadang untuk bertemu dengan petugas kesihatan dan pesakit di awal penularan virus tersebut.


Misi WHO itu sebelum ini tergendala susulan masalah mendapatkan akses ke republik itu ekoran perselisihan yang berlaku antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Namun satu lawatan sahaja oleh para saintis ini tidak mungkin dapat mengesahkan asal-usul virus berkenaan.

Penyelidikan terperinci memakan masa bertahun dan analisis genetik diperlukan.

Satu teori yang dapat disumpulkan ketika ini adalah seorang pemburu mungkin menjangkiti para peniaga yang membawanya ke Wuhan.

Kerajaan China pula berkata penularan wabak tersebut mungkin berpunca daripada makanan laut beku yang diimport ke negara berkenaan dicemari dengan virus tersebut.

Namun teori itu telah ditolak oleh para saintis dan agensi dunia.

Ketika ini kumpulan pakar WHO berkenaan ingin menumpukan perhatian di Institut Virologi Wuhan, yang telah mengumpul pelbagai maklumat tentang koronavirus melibatkan kelawar selepas tercetusnya penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003.