Sekatan itu memperketatkan lagi kawalan eksport terhadap cip AI dan parameter model, selain memperluaskan bidang kuasa luar wilayah. Ia juga mencetuskan halangan dan gangguan kepada pihak ketiga yang menjalankan perdagangan biasa dengan China, menurut Kementerian Perdagangan China.
Bercakap pada sidang akhbar, Guo berkata AS telah menyalahgunakan konsep keselamatan negara, mempolitikkan serta memanipulasi isu ekonomi dan teknologi, selain menyalahgunakan kawalan eksport untuk menekan China secara tidak adil.
Beliau menegaskan tindakan itu menjejaskan peraturan pasaran serta sistem ekonomi dan perdagangan antarabangsa, memberi kesan besar kepada kestabilan rantaian bekalan dan industri global, selain menjejaskan komuniti perniagaan di kedua-dua negara serta negara lain.
"AI adalah aset bersama umat manusia dan tidak sepatutnya menjadi permainan untuk negara dan individu kaya. Ia juga tidak patut digunakan untuk mencetuskan jurang pembangunan baharu," kata Guo.
Beliau turut mengkritik AS kerana cuba mengekalkan hegemoninya dengan memperkenalkan hierarki dalam bidang AI dan secara efektif menafikan hak negara membangun, termasuk China, untuk mencapai kemajuan dan pembangunan teknologi.
Guo menggambarkan dasar AI AS sebagai "halangan besar" kepada negara lain, yang bercanggah dengan kepentingan bersama negara-negara yang mempromosikan pembangunan AI secara bertanggungjawab, selain membangkitkan kebimbangan bahawa AS memulakan Perang Dingin baharu dalam teknologi.
Beliau berkata banyak syarikat teknologi dan persatuan industri di AS secara terang-terangan menentang langkah yang diambil oleh pentadbiran Presiden Joe Biden.
"China adalah penyokong dan pengamal aktif tadbir urus global dalam AI," kata Guo, sambil menambah bahawa China telah mencadangkan Inisiatif Tadbir Urus AI Global, mempromosikan penerimaan resolusi pembinaan kapasiti AI oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan menubuhkan kumpulan rakan kerjasama antarabangsa dalam pembinaan kapasiti AI.
Beliau menegaskan China akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk mewujudkan persekitaran pembangunan AI yang terbuka, inklusif, bermanfaat kepada semua, dan tidak diskriminasi, memastikan manfaatnya dinikmati oleh semua negara.
--BERNAMA-XINHUA