Menurut keputusan yang dikira setakat ini (kiraan rasmi hanya akan dikeluarkan pada 24 Mei ini), Jokowi meningkatkan peratusan undi di dua wilayah utama, Jawa Timur dan Barat, masing-masing kepada lebih 12 dan 10 peratus, dengan menampung kemerosotan yang jelas berlaku di pulau-pulau Sumatera dan Sulawesi yang bilangan penduduknya rendah.
Satu faktor penting dalam hasil dramatik ini adalah usaha Jokowi menarik sokongan daripada pertubuhan Islam yang besar iaitu Nahdlatul Ulama (boleh diterjemahkan sebagai 'Kebangkitan Ulama' dan umumnya dirujuk sebagai NU).
Anggaran keahlian NU adalah pelbagai --- walaupun 40 juta umumnya boleh diterima sebagai angka asas -- dan jika anda mengira badan berkaitan, rangkaian dan sekutu yang memperkenalkan diri sebagai sebahagian daripada keluarga NU, angka itu boleh melonjak ke 100 juta. Ditubuhkan pada tahun 1926 sebagai reaksi langsung daripada penaklukan Mekah oleh pihak Saud dan pelaksanaan ajaran Wahabi yang keras, NU --- yang walaupun amat beragam telah umumnya berusaha untu mengimbangkan tradisi, keilmuan dan identiti Jawa, beriringan dengan Islam.
Banyak faktor yang menyebabkan Jokowi menambat hati para pemimpin dan anggota NU.
Pertamanya dan utamanya ialah gelagat Jawanya yang jelas. Bersahaja dan tenang, Jokowi jarang sama sekali menampilkan emosinya pada umum. Kyai Rofiq menghargai tingkah Presiden yang menahan diri dan tenang terutama dalam keadaan tertekan.
Tentunya Jokowi telah membina jaringan kawan dan sekutu di kalangan kerangka NU dengan kemuncaknya apabila secara mengejut beliau memilih Ma'ruf Amin yang berpakaian kain pelikat dan merupakan seorang ulama terkemuka, yang kadang kala kontroversi sebagai calon gandingannya.
Pada waktu sama, Jokowi adalah pendokong tegas tokoh-tokoh seperti Khofifah Indar Prawansa, ketua Muslimat (kumpulan wanita yang merupakan sekutu rapat pada NU). Malah, tahun lalu, Ibu Khofifah bersama pasukan kuat wanitanya memperoleh jawatan Gabenor di Jawa Timur dalam persaingan yang sengit.
Sebagai perbandingan, Kyai Rofiq yang mesra dan mudah didekati -- beliau berkahwin dengan seorang guru sekolah agama dan mempunyai seorang anak -- perempuan remaja merupakan tokoh NU akar umbi yang ketara.
Beliau seorang yang bersahaja, praktikal dan penuh berjenaka, memberi ceramah dengan disulami gelak tawa. Apabila Pasukan Ceritalah mengunjungi beliau, beliau sedang sibuk menguruskan tanaman padinya. Ia baru ditanam dan beliau menghabiskan beberapa malam sebelum itu di bendang, memantau aliran air ke tanah yang diairkan seluas 1.5 hektar itu. Selain daripada jagung, ubi kayu dan lain-lain sayur, beliau baru-baru ini memulakan tanaman kopi dan memaksa Pasukan Ceritalah merasa kopi yang disediakannya sendiri.
Rumah Kyai Rofiq adalah sarang aktiviti. Setiap pagi selepas solat Subuh, beliau terus pergi ke pasar tempatan untuk membeli bekalan, dan kemudian pulang untuk menyediakan sarapan bagi dua belas pekerjanya yang membantu beliau di kebunnya. Selepas itu, akan berlaku kunjungan pelawat, iaitu selain daripada banyak kanak-kanak yang datang untuk menghadiri kelas agama yang dikendalinya, isterinya, dan ibunya, seorang balu secara percuma.
Dua solat malam - maghrib dan isya - dilakukan berjemaah dan selepas itu, ada lagi kelas-kelas agama. Dan sebagai kyai tempatan, beliau banyak terlibat dengan memberi kaunseling kepada keluarga-keluarga, ditambah pula dengan aliran acara-acara NU yang berterusan.
Beliau tidak memberi sebarang apologi terhadap pandangan konservatifnya dengan menjelaskan: "Kita tidak sepatutnya terlebih teruja terhadap perkara-perkara baharu. Apa yang kelihatan semata-mata bukannya jaminan bahawa ia adalah betul dan benar. Islam adalah mengenai seseorang yang baik -- petani yang baik. Anda mesti berusaha mengasaskan hidup anda dengan ajaran Nabi."
Pemikiran Kyai Rofiq adalah berasaskan pada tulisan pengasas NU, Hasyim Asyari. Beliau sendiri membantu memilih untuk memberi tumpuan pada hal-hal praktikal yang beliau berasakan akan membantu masyarakatnya seperti Islam dan kehidupan seharian, saling hormat-menghormati dan kepentingan selalu melakukan solat.
Beliau tidak ada masalah bergaul dengan bukan Islam atau orang Islam yang mempunyai pandangan amat berbeza dengan menyatakan, "Adalah penting untuk berjumpa orang, memelihara hubungan sosial tetapi saya tidak akan menyertai amalan agama mereka."
Pada terasnya, Kyai Rofiq adalah penganjur konsep Islam Nusantara - suatu gabungan mudah hubungan sosial, tradisi budaya, iman dan amal, yang dipadukan sebagai suatu cara hidup yang mencerminkan persekitaran Indonesia dan Jawa. Baginya, mengekalkan hubungan dan interaksi sosial boleh menjadi tambahan kepada hubungan kerohanian dan amal ibadat agama - ia tidak boleh dipandang sebagai berasingan, kedua-duanya adalah penting. Maka penekanannya terhadap "amaliyah" (mengamalkan Islam dalam kehidupan seharian) dan hakikat bahawa norma-norma budaya seperti menziarah kubur, doa untuk orang mati (tahlilan) harus diamalkan.
Ia adalah bertentangan kepada ajaran yang lebih progresif, skolastik yang dianjurkan oleh Muhammadiyah, pertubuhan massa kedua terbesar selepas NU tetapi hanya kira-kira sepertiga daripada saiz NU yang berpusatkan Jawa itu. Pematuhan tegas Muhammadiyah terhadap Alquran dan Sunnah bermakna bahawa norma-norma budaya yang merupakan perkara penting dalam amalan beragama di Jawa tidak diberi tempat.
Begitu juga, beliau menentang pergerakan-pergerakan seperti Hizbut Tahriri yang kini diharamkan dengan penolakannya terhadap ideologi nasional Indonesia, Pancasila serta juga perjuangannya yang ditumpukan pada usaha untuk mengembalikan suatu Khalifah bagi seluruh umat Islam.
Beliau juga menepis fenomena sosial yang kian bertambah iaitu 'hijrah' -- orang Islam yang 'dilahirkan semula' dengan menyatakannya "sebagai ia adalah lebih mengenai gaya hidup. Lambat laun mereka akan menyedari bahawa Islam Rahmatan Lil Alamin (sebagai cara hidup) adalah lebih sesuai."
Bagi Kyai Rofiq, tradisi dan 'akar' adalah penting. Walaupun beliau tidak dapat menyempurnakan pendidikan Islamnya kerana kematian awal bapanya, beliau tetap komited kepada bekas guru agamanya, dan kembali sebulan sekali ke Sumenep di pulau Madura di mana beliau belajar ketika kanak-kanak.
Bukanlah hendak mengatakan bahawa kehidupan kampung tidak berubah. Tetapi beliau menyedari perbezaan dengan menunjukkan jalan yang diturap dan bekalan air yang diperbaiki. Sambil beliau menjelaskan: "Pada masa lalu, orang tempatan adalah lebih pasif sebab projek pembangunan diuruskan oleh kerajaan. Tetapi kini dengan Dana Desa, rakyat lebih banyak terlibat -- mereka berbincang isu sesama mereka. Mereka mengehendaki apa yang terbaik untuk kampung."
Kyai Rofiq adalah seorang yang memiliki perasaan kuat terhadap kedudukannya di dunia ini. Beliau amat sedar tentang perlunya iman dan kerja-kerja amal masyarakat yang menyatukan kita bersama, tidak kiralah apa saja kepercayaan kita. Sudah sampai masanya untuk beliau meninjau sawah padi sekali lagi.
* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.