Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelantikan Thaksin juga bertujuan merintis usaha damai di selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar yang masih meruncing sehingga kini.
“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.
"Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra.
"Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini. Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anwar ketika mengumumkan pelantikan Thaksin pada 16 Disember lalu menjelaskan, Malaysia memerlukan negarawan seperti Thaksin untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.
“Saya bersetuju untuk melantik Thaksin sebagai penasihat peribadi saya, membantu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bersama pasukan dari negara ASEAN dalam kerangka tidak rasmi.
“Terima kasih kerana Thaksin bersetuju dengan perkara ini, kerana kami memerlukan manfaat daripada pengalaman seorang negarawan seperti beliau,” ujarnya.