TOKYO: Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dan Indonesia dari 9 hingga 12 Jan untuk memperkukuh kerjasama dengan negara Asia Tenggara dalam merealisasikan Indo-Pasifik yang bebas, terbuka dan berasaskan peraturan, lapor Agensi Berita Kyodo pada Jumaat.

Semasa lawatan itu, Ishiba dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto, kata Ketua Setiausaha Kabinet, Yoshimasa Hayashi dalam satu sidang media.

Malaysia akan mempengerusikan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun depan.

"Adalah penting untuk Jepun mengukuhkan hubungan dengan negara Asia Tenggara yang terletak berhampiran laluan laut utama dan dilihat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi.

"Kami berharap pertemuan ini akan membantu membina hubungan peribadi antara pemimpin, menjadi peluang untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan keselamatan, serta mengesahkan penyelarasan terhadap pelbagai cabaran global," kata Hayashi.

Sejak memegang jawatan pada Oktober lalu, Ishiba menghadiri beberapa mesyuarat pelbagai hala di luar negara, namun ini adalah lawatan pertamanya yang diadakan khusus bagi perbincangan dua hala.

-- BERNAMA