SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan Singapura (HSA) merampas 970,707 unit produk kesihatan haram dan mengeluarkan 7,351 penyenaraian produk dari platform e-dagang serta media sosial tempatan tahun lalu, hasil tindakan penguatkuasaan bersepadu dengan agensi tempatan dan luar negara.

Antara barangan yang dirampas, sirap batuk kodeina merupakan majoriti (54 peratus), diikuti ubat perangsang seksual (19 peratus), ubat penenang (18 peratus) serta ubat preskripsi lain (sembilan peratus).

"Sebanyak 64 individu disiasat atas kesalahan membekalkan produk kesihatan tidak sah, dan kes ini masih dalam siasatan," menurut agensi di bawah Kementerian Kesihatan Singapura dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, hampir separuh daripada penyenaraian produk yang dikeluarkan adalah hasil kerjasama berskala besar pertama HSA dengan pentadbir platform dalam talian tempatan pada September dan Oktober 2024, yang menyasarkan jualan haram dalam talian serta penjualnya.

Sebahagian besar produk yang dikeluarkan daripada penyenaraian (37 peratus) adalah barangan yang dipasarkan untuk tujuan kecantikan kulit dan rambut, diikuti kanta sentuh (24 peratus), produk untuk pengurusan penyakit kronik seperti kolesterol dan hipertensi (tujuh peratus), kontraseptif (lima peratus), produk perangsang seksual atau tenaga lelaki (empat peratus), produk pelangsingan (tiga peratus) dan antibiotik (tiga peratus).

HSA turut mengeluarkan amaran kepada 2,868 penjual dalam talian.

Agensi itu menegaskan, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang menjual atau membekalkan produk kesihatan haram.

"Penjual dan pembekal yang didapati bersalah boleh didakwa dan, jika disabitkan, boleh berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda sehingga S$100,000," menurut agensi itu.

HSA juga memaklumkan, 30 individu telah didakwa atas kesalahan menjual dan membekalkan produk kesihatan tidak sah pada 2024.

Tahun lalu, tiga pengguna dimasukkan ke hospital akibat kesan sampingan serius daripada penggunaan produk haram, termasuk seorang lelaki dalam lingkungan 50-an yang mengambil pil Selulit Sausando selama lima bulan. Produk itu didapati mengandungi bahan terlarang sibutramina, selain julap dan diuretik.

Lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital selepas mengalami sawan, hiponatremia (kandungan natrium rendah dalam darah) dan muntah. - BERNAMA