KUALA LUMPUR: ASEAN ketika ini bergerak dengan mekanisme yang disifatkan terlalu elitis sehingga tidak dapat dihargai serta dirasai oleh orang awam yang mendiami negara-negara Asia Tenggara.


Ringkasan AI
  • Mekanisme Elitis: ASEAN bergerak dengan mekanisme yang terlalu elitis sehingga tidak dapat dihargai oleh orang awam.
  • Kegagalan Buku Teks Sejarah: ASEAN gagal menerbitkan buku teks sejarah bersama yang standard untuk murid sekolah rendah.
  • Kurangnya Kesedaran Awam: Rakyat ASEAN kurang merasakan identiti sebagai warga ASEAN dan tidak memahami sistem politik negara jiran.


Profesor Fakulti Sains Sosial Universiti Islam Antarabangsa Indonesia (UIII), Prof. Farish Noor berkata, kegagalan ini terserlah melalui ketidakupayaan ASEAN untuk menerbitkan sebuah buku teks sejarah bersama yang standard. 

“Apa yang kita ada ialah mekanisme yang membolehkan dialog antara negara-negara (anggota ASEAN) yang merupakan satu kekuatan dan juga kelemahan ASEAN. Ini kerana, mekanisme ini bersifat inter-elit dan inter-kerajaan, dan hampir tidak dapat dirasai oleh orang awam. 

“Berapa ramai orang di Asia Tenggara yang merasakan mereka sebagai rakyat ASEAN? Berapa ramai orang yang menganggap mereka tergolong dalam Asia Tenggara? Ini merupakan satu tragedi. 

“ASEAN dibentuk pada 1967 tetapi kita masih tidak mampu untuk hasilkan semudah buku teks sejarah Asia Tenggara yang dipersetujui secara bersama untuk murid di sekolah rendah. 

“Walaupun kita tinggal bersebelahan antara satu sama lain, tetapi kita langsung tidak mengenali satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog ASEAN25 pada Khamis.

Mekanisme ASEAN terlalu elitis tidak dirasai orang awam - Penganalisis


Tambahnya, warga awam juga tidak memahami sistem politik yang pelbagai diamalkan oleh negara-negara berjiran di Asia Tenggara. 

Oleh itu, Farish menyifatkan aspirasi Komuniti ASEAN dan Sentraliti ASEAN perlu kembali bermula daripada asas.

“Kita tidak mengendahkan perkara ini untuk berdekad-dekad, dan harga yang perlu kita bayar adalah seperti yang kita saksikan hari ini,” ujarnya.