Tiga remaja pemain bola sepak dan jurulatih mereka yang terperangkap dalam gua Tham Luang ditenggelami banjir selama hampir tiga minggu telah diberikan kerakyatan, semalam.

Ketua jurulatih pasukan Wild Boars, Nopparat Kanthawong berkata, kesemua mereka menerima kad pengenalan secara rasmi manakala rakan pasukan lain juga memohon kewarganegaraan.

"Saya berasa sangat gembira. Saya mahu menyatakan bahawa bola sepak dapat meningkatkan kehidupan anak-anak yang lahir dalam keluarga susah.

"Jika mereka mempunyai hak kerakyatan dan tidak mahu bermain bola sepak, mereka boleh mengambil peperiksaan untuk menjadi pegawai awam atau mencari kerja lebih baik berkaitan bidang pengajian masing-masing," ujarnya.


Jelas Nopparat lagi, beliau mengemukakan dokumen berkaitan bagi membantu memohon kewarganegaraan tujuh pemain Wild Boars lain.

Sementara itu, ketua daerah, Somsak Kanakam memaklumkan kesemua remaja yang sudah menjadi rakyat negara itu yang sah memenuhi syarat untuk perubahan status tersebut.

"Terdapat ramai orang yang lahir di Thailand, namun tidak mendapat kerakyatan," ujarnya.


Difahamkan, mereka yang tidak mendapat kewarganegaraan tidak mendapat manfaat dan hak asas termasuk kebenaran untuk melakukan perjalanan keluar dari wilayah utara, Chiang Rai yang didiami etnik minoriti yang berasal dari Myanmar.

Terdapat 488,105 individu tidak bernegara berdaftar di Thailand dan jumlah sebenar mungkin setinggi 3.5 juta orang dan golongan itu dilarang mengundi, membeli tanah, bergerak secara bebas dan bekerja dalam sesetengah bidang. - AP