Walaupun Amerika Syarikat (AS) mengambil pendekatan yang disifatkan sebagai agresif dalam berdepan krisis hubungan luar dengan Korea Utara, tindakan ini dilihat sebagai rasional bagi menjamin keselamatan di rantau Asia Timur.

Penganalisis politik antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Profesor Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata dengan tindakan ini, Pyongyang tidak akan melakukan serangan memandangkan mereka sendiri sedar implikasi buruk jika berbuat demikian.

"Dalam konteks situasi ini, Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dan juga berperanan sebagai pengimbang di rantau Pasifik ini dilihat bertindak secara agresif.

"Namun, saya merasakan ini adalah satu reaksi yang rasional terhadap retorik yang dikeluarkan Korea Utara yang cuba menggugat kestabilan di rantau ini," kata Dr Mohd Azizuddin dalam satu temu bual telefon dengan Astro AWANI.

BACA: Korea Utara sudah bersedia tenggelamkan 'binatang jijik' Amerika Syarikat

Pada Ahad, Korea Utara telah menyatakan kesediaan untuk menenggelamkan kapal pengangkut pesawat AS bagi menunjukkan kekuatan ketenteraan mereka.

Provokasi itu dikeluarkan ketika dua kapal tentera laut Jepun menyertai armada kapal pengangkut AS untuk berlatih di barat Pasifik.

Dalam kenyataan balas, Jurucakap Pentagon Gary Ross telah menggesa Korea Utara untuk menghentikan provokasi yang akan menggugat kestabilan di rantau tersebut.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini telah mengarahkan armada kapal pengangkut USS Carl Vinson belayar ke perairan di luar semenanjung Korea sebagai reaksi kepada peningkatan ketegangan berhubung ujian nuklear serta peluru berpandu Korea Utara.