Kawasan di Ethiopia, Kenya dan Tanzania yang biasanya gersang serta dilanda kemarau mengalami taburan hujan luar biasa, disebabkan corak cuaca El Nino yang dikaitkan dengan peningkatan haba di seluruh dunia.
Situasi luar biasa tersebut menarik perhatian badan antarabangsa malah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Khamis menzahirkan ucapan takziah kepada penduduk yang terjejas teruk akibat banjir menerusi jurucakap beliau, Stephane Dujarric.
“Setiausaha Agung PBB turut berduka dengan laporan hampir 400 kematian penduduk di Burundi, Kenya, Somalia dan Tanzania serta bahagian lain di Afrika Timur,” ujar Dujarric.
Menurutnya, PBB bersama rakan kongsi mereka juga akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menangani keperluan kemanusiaan dan bantuan tambahan kepada penduduk ketika menghadapi waktu sukar itu.
Gutteres juga menyuarakan kebimbangan terhadap kesan cuaca ekstrem dicetuskan El Nino yang berisiko memusnahkan komuniti dan menjejaskan mata pencarian penduduk miskin di Afrika setelah kebanyakan ladang pertanian musnah teruk. - Sinar Harian